Penarik kereta tidak mengaku miliki pistol, pedang samurai

Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pistol, peluru dan parang. - FOTO SINAR HARIAN
Tertuduh (kiri) dikawal polis keluar dari bilik Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pistol, peluru dan parang. - FOTO SINAR HARIAN
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penarik kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 10 butir peluru di Melor di sini bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Azli Sham Che Azmi, 38, didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol berwarna hitam dan perak bertulis Zoraki M 906-TD di Kubang Edang, Bechah Keranji di Melor di sini pada jam 9.30 pagi, 31 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan minumim enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati memiliki sembilan butir peluru jenis sembilan milimeter (mm) USA 380 Auto dan sebutir peluru sembilan mm jenis PMC3 80 tanpa kebenaran yang sah pada masa tarikh dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, tertuduh juga didakwa pada tuduhan ketiga, iaitu memiliki dua bilah pedang samurai tanpa kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Pendakwaan dibuat Seksyen 6(1)Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Mac depan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang menjadi buruan polis sejak 19 tahun lalu ditahan ketika tertidur dalam keadaan lalok di dalam kereta di Kampung Kubang Edang, Bechah Keranji di sini.

Lelaki terbabit pernah ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) pada 2003 dan berjaya melarikan diri namun tertinggal dokumen pengenalan diri.