X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Elak ketirisan peruntukan RM332.1 bilion pulih negara

Mazlan Mohamad
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Bekas Pegawai SPRM menyambut baik saranan peruntukan kewangan yang tertinggi berjumlah RM332.1 bilion sebagai usaha pemulihan ekonomi negara serta memperkenalkan prinsip SWIFT sebagai nilai perkhidmatan awam semasa negara menuju fasa endemik.

Presidennya, Datuk Mazlan Mohamad berkata, pihaknya sangat bersetuju dengan amanat Ketua Setiausaha Negara (KSU), Tan Sri Mohd Zuki Ali mengenai peruntukan besar tersebut dapat dilaksanakan melalui 'responsibility' dan 'accountability' yang tinggi bagi mengoptimumkan perbelanjaan serta meminimumkan ketirisan, pembaziran dan pemborosan.

Katanya, pihaknya juga berharap agar semua pengurusan kewangan negara yang besar itu dapat mencapai 'value for money', sekali gus membantu negara mencapai perkembangan pesat.

Dalam hal ini menurutnya, ketua jabatan yang dipertanggungjawabkan membuat perbelanjaan perlu memastikan semua perbelanjaan dilaksanakan melalui tadbir urus yang tinggi, selain memastikan semua perancangan dan projek dapat dilaksanakan tanpa ada ketirisan, telus serta tiada kebocoran kepada wang kerajaan yang telah diperuntukkan.

Tegasnya, ketua jabatan perlu memastikan peruntukan yang besar ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada kebajikan rakyat.

"Ketua-ketua jabatan juga perlu memastikan pihak-pihak tertentu seperti kartel dan kroni sesuatu pihak tidak mengaut keuntungan besar daripada peruntukan besar tersebut.

"Malah pihak persatuan juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada Tan Sri Mohd Zuki yang memperkenalkan kaedah SWIFT yang merujuk kepada kepantasan (speed), pengetahuan kelas dunia (world class knowledge), berinspirasi (inspirational), fleksibel (flexible) dan berasaskan teknologi (technology-base).

"Untuk itu, semua ketua jabatan dan pegawai dalam perkhidmatan awam serta agensi-agensi kerajaan harus memahami hasrat ini serta melaksanakan semua urusan melalui kaedah SWIFT tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya yakin sekiranya pelaksanaan penyampaian perkhidmatan melalui kaedah baharu tersebut, landskap perkhidmatan awam akan berubah ke tahap yang lebih tinggi serta dapat memberi kepuasan kepada pelanggan, sekali gus dapat menghapuskan amalan rasuah terutama dalam perkhidmatan awam.

Tambahnya, ketua jabatan dan pegawai yang bertanggungjawab seharusnya memastikan penyampaian perkhidmatan secara pantas dengan mengenepikan semua birokrasi agar pelanggan mendapat kepuasan perkhidmatan sewajarnya.

Dengan itu tegasnya, masyarakat tidak lagi beranggapan bahawa untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pihak penjawat awam, orang ramai perlu membayar dengan menyediakan 'wang rasuah'.

"Penjawat awam perlu menggarap pelbagai ilmu dan mengamalkan amalan baik setanding dengan amalan baik antarabangsa agar penyampaikan perkhidmatan tidak menyusahkan pelanggan terutamanya pelanggan dari sektor perniagaan dan pelabur antarabangsa.

"Dengan kaedah 'World Class Knowledge’ ini, pastinya dapat membantu menarik lebih banyak pelaburan asing serta terus mengekalkan pelabur asing sedia ada kerana menjalankan perniagaan di negara ini akan menjadi lebih mudah serta tanpa kos tambahan," katanya.

Sehubungan itu menurutnya, ketua jabatan harus menjadi inspirasi kepada pegawai bawahan agar terus memberi perkhidmatan cemerlang dan keseronokan bekerja.

Jelasnya, perkara seumpama itu akan hanya boleh dicapai sekiranya ketua jabatan dan pegawai penyelia menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti.

Katanya, sekiranya ketua jabatan atau pegawai penyelia masih mengamalkan kaedah birokrasi, kelewatan atau membuat keputusan demi kepentingan diri dan orang tertentu, maka hasrat murni tersebut tidak akan dapat dicapai secara menyeluruh.

Tambahnya, penyampaian perkhidmatan kini perlu mempunyai fleksibiliti agar capaian kepada perkhidmatan menjadi mudah tanpa menyusahkan pelanggan.

"Ketua jabatan harus memikirkan kaedah penyampaian perkhidmatan tidak hanya terhad kepada waktu pejabat biasa tetapi lebih terbuka. Malah penyampaian perkhidmatan harus tidak lagi dengan datang ke pejabat tetapi perkhidmatan dihantar ke halaman rumah.

"Ini dapat dilihat apabila semasa banjir melanda, beberapa agensi kerajaan tangkas tampil menghantar bantuan terus kepada penerima di halaman rumah mangsa tanpa perlu mengadakan majlis tertentu.

"Perkhidmatan awam perlu memperluaskan penyampaian perkhidmatan melalui penggunaan teknologi terkini yang ‘user-friendly’ serta mempermudahkan penyampaian perkhidmatan," katanya.

Jelasnya lagi, ketua jabatan perlu menilai pembangunan sistem berteknologi agar sistem yang dibangunkan bukan sahaja mudahkan urusan tetapi kos pembangunan juga tidak keterlaluan hingga pihak vendor mengaut keuntungan yang besar tetapi sistem yang dibangunkan pula tidak sebagaimana yang diharapkan.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya menyanjung tinggi komitmen KSN bagi memastikan semua ketua jabatan membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi serta melaksanakan semua inisiatif yang dirancang bagi memastikan rasuah dihapuskan dan negara maju.

Tegasnya, ketua jabatan dan pegawai kanan dalam perkhidmatan awam perlu mempunyai komitmen yang tinggi dalam memastikan semua perbelanjaan dilaksanakan dengan penuh tadbir urus demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.

Selain itu menurutnya, pihak berkenaan juga harus memberi fokus kepada pembangunan Pelan Anti-Rasuah Organisasi serta melaksanakan sebaik mungkin semua program dan aktiviti bagi bukan sahaja menghapuskan rasuah tetapi turut membantu meningkatkan skor dan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang akan datang.

"Pihak persatuan juga menyarankan agar semua pihak terus memberi sokongan penuh dan kerjasama kepada usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah rasuah di negara ini, agar negara kita bebas dari rasuah serta terus membangun sebagai sebuah negara yang maju, aman dan makmur demi kebahagiaan 'Keluarga Malaysia' kini dan generasi akan datang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!