Kekurangan pekerja turut jejaskan industri perhotelan

Industri perhotelan turut menerima tempias kekurangan pekerja dan keadaan lebih kritikal melibatkan destinasi pelancongan terpilih. - Foto fail (Gambar kecil: Yap Lip Seng)
Industri perhotelan turut menerima tempias kekurangan pekerja dan keadaan lebih kritikal melibatkan destinasi pelancongan terpilih. - Foto fail (Gambar kecil: Yap Lip Seng)
A
A
A

SHAH ALAM - Industri perhotelan turut menerima tempias kekurangan pekerja dan keadaan lebih kritikal melibatkan destinasi pelancongan terpilih.

Turut terkesan, masalah pekerja untuk acara-acara sampingan yang diadakan di hotel, termasuk jamuan dan konvensyen.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, industri itu masih mengalami masalah kekurangan sumber manusia apabila kebanyakan pekerja telah meninggalkan pekerjaan itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Menurutnya, masyarakat masih bimbang dan tidak tertarik untuk bekerja di industri pelancongan dan hotel walaupun terdapat peluang pekerjaan susulan keadaan industri yang masih tidak menentu.

“Oleh kerana kadar penginapan yang tidak menentu dan bergantung kepada tempoh permintaan seperti hari minggu dan cuti perayaan, keperluan pekerja juga tidak tetap kerana industri tidak mampu mengambil pekerja tambahan.

“Keadaan ini akan menyebabkan kehilangan pendapatan hotel apabila hotel tidak dapat menerima pelanggan tambahan dengan kapasiti terhad,” katanya.

Beliau berkata, langkah strategik perlu dilakukan oleh pelbagai pihak untuk menggalakkan lebih ramai pekerja untuk bekerja di bidang perhotelan.

“Kami mencadangkan kempen industri pelancongan Malaysia (termasuk perhotelan) untuk membina semula imej industri sebagai salah satu industri yang paling penting dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Kempen ini sepatutnya merangkumi penggalakan kerjaya pelancongan dengan insentif kerajaan dari segi pendidikan awal, Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pembangunan kemahiran.

“Program subsidi untuk industri pelancongan terutamanya hotel patut diteruskan untuk membantu industri bersaing, dan menjaga kelangsungan pekerja hotel,” katanya.