[VIDEO] 'Saya bercakap PRN Johor bukan Kedah' - Sanusi

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

SIK- Kenyataan yang dikeluarkan berhubung ketidakstabilan politik sekiranya UMNO memerintah adalah berhubung konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac depan.

Pengarah Pilihan Raya Pas merangkap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kenyataan itu juga berdasarkan fakta dan hujah serta situasi semasa politik yang berlaku di negara ini.

"Dalam PRN Johor, kita kena jelaskan kenapa rakyat perlu pilih Perikatan Nasional (PN), kenapa tak boleh pilih parti lain Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

"Saya ni Ketua Pilihan Raya Pas yang menganggotai PN, saya bagi alasan kenapa parti saya perlu dipilih, oleh kerana tak berlaku rundingan dan pembahagian kerusi, Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi buat pengumuman bertanding solo.

"Bila solo, dia bertembung dengan PN dan PH, tak kan lah saya (PN) nak pergi kempen untuk menyokong parti yang bertembung dengan saya.

"Dalam pergelutan politik, bila berlaku pertembungan, lawan kena cakap lah tak kan nak bagi dia 'score goal' saya, tak kan nak suruh saya kempen untuk dia pula, sudah tentu saya pertahankan parti saya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kedah di Dewan Al-Hana, Sik pada Isnin.

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Artikel Berkaitan:

Jelas Muhammad Sanusi, fakta yang disampaikan betul dan tepat, dalam konteks PRN Johor serta tidak perlu dikaitkan dengan pentadbiran Negeri Kedah.

"Kerusi UMNO banyak seperti Perak, Melaka, Johor termasuk Wilayah Persekutuan bergolak, tukar menteri besar, tukar ketua menteri buat Pilihan Raya Negeri (PRN) itu semua kerana ketidakstabilan politik.

"Negeri yang kerusi UMNO sikit stabil antaranya Kedah, Kelantan dan Terengganu stabil tiada isu, tiada pergolakan politik, relaks ja," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan tidak timbul isu kerajaan akan menjadi lebih stabil jika UMNO tidak memerintah.

Menurutnya, kerajaan kini adalah kerajaan UMNO dan beliau sendiri adalah Perdana Menteri dari UMNO dan mendapat sokongan dari rakan parti lain.

Ia susulan kenyataan Muhammad Sanusi yang mengatakan bahawa kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya UMNO tidak lagi memerintah.