Selangor pantau pusat penjagaan ibu bersalin

Sze Han (kiri) pada sidang akhbar garis panduan penubuhan Confinement Centre Selangor di Hotel Mercure pada Isnin.
Sze Han (kiri) pada sidang akhbar garis panduan penubuhan Confinement Centre Selangor di Hotel Mercure pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor memutuskan aktiviti pusat penjagaan ibu bersalin atau Confinement Centre perlu dilesenkan di bawah Pusat Penjagaan Kesihatan yang dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan garis panduan tersebut sebagai rujukan dan panduan semua PBT bagi tindakan pengawalan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, langkah itu dilakukan bagi tujuan pemantauan dan memastikan perniagaan penjagaan ibu selepas bersalin itu dijalankan dengan selamat serta kondusif.

"Aktiviti penjagaan bayi dan rawatan ibu selepas bersalin semakin berkembang dengan hampir 150 pusat tersebut dikesan beroperasi di Selangor.

"Aktiviti ini tidak hanya tertumpu di kawasan perniagaan, malah telah bercambah ke kawasan kediaman yang mempunyai kepadatan yang tinggi," katanya pada sidang akhbar garis panduan penubuhan Confinement Centre Selangor di Hotel Mercure di sini pada Isnin.

Menerusi garis panduan itu, PBT bertanggungjawab memastikan aktiviti yang dijalankan di fasiliti tersebut dipantau dari segi bilangan, statistik dan pematuhan kepada syarat-syarat teknikal sebelum sebarang lesen dikeluarkan.

"Antaranya premis Confinement Centre tidak boleh beroperasi di kawasan berisiko tinggi yang boleh menimbulkan kacau ganggu seperti bunyi, udara dan air.

"Bagi operasi di unit kediaman disyaratkan terletak di hujung lot (corner lot) atau banglo yang perlu mendapatkan persetujuan daripada unit bersebelahan bagi mengelak kacau ganggu dan jika melebihi dua premis perlu membuat permohonan kebenaran merancang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, garis panduan tersebut menetapkan setiap seorang penjaga hanya dibenarkan menguruskan tiga pelanggan pada satu masa.

Tambahnya, garis panduan itu berkuat kuasa serta-merta dan pengusaha perniagaan tersebut diminta merujuk kepada PBT masing-masing bagi permohonan lesen tersebut.