MACEOS gesa kerajaan buka sempadan negara

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS) menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan syor Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi membuka sempadan negara seawal 1 Mac depan yang menjadi langkah ke arah pemulihan ekonomi.

Presidennya, Francis Teo berkata, ini akan membolehkan pengembara antarabangsa memasuki Malaysia tanpa perlu menjalani kuarantin (dan pada masa sama mengambil langkah sewajarnya untuk meningkatkan keselamatan serta melindungi orang ramai) yang dapat merancakkan semula acara perniagaan selain mengukuhkan lagi keyakinan masyarakat.

Menurutnya, MACEOS juga berharap mendapat bekerjasama erat dengan pihak berkuasa untuk mewujudkan langkah-langkah lebih ketat bagi memastikan kemasukan yang tidak rumit dan penginapan sewajarnya untuk pengembara bagi menghadiri acara perniagaan.

"Kalangan ahli-ahli kami telah mengikuti rapat perkembangan di destinasi acara perniagaan lain yang telah membuka semula operasi terbabit.

"Kami juga dapat mengemukakan saranan berkaitan amalan terbaik untuk mewujudkan satu rangka kerja menyeluruh prosedur operasi standard (SOP) untuk industri acara perniagaan dalam norma baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sejak Jun 2020, MACEOS telah mewujudkan serta mengemukakan rangka kerja kesihatan dan keselamatan serba komprehensif dengan amalan terbaik global sebagai garis panduan penganjuran acara perniagaan dan mesyuarat dalam norma baharu.

Ini termasuk beberapa protokol utama seperti sanitasi lokasi, pemeriksaan kesihatan para delegasi, kawalan orang ramai, prosedur pengesanan kontak dan penjarakan fizikal.

Francis turut menyuarakan keyakinannya bahawa Malaysia dan komuniti acara perniagaan telah bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung asing berikutan pelaksanaan program suntikan vaksinasi oleh kerajaan selain aspek SOP di semua sektor.

Artikel Berkaitan:

"Perniagaan dan persatuan pelancongan di negara ini telah bersepakat untuk mewujudkan serta melaksanakan Gabungan Keselamatan Pelancongan (TSAM) bagi memastikan aspek keselamatan dan kebersihan dioptimumkan di peringkat industri, hotel, restoran atau premis makanan, pusat konvensyen, pusat tumpuan dan pengangkutan di serata negara,” katanya.

TSAM yang dilancarkan pada 10 Oktober 2021, melibatkan empat persatuan industri pelancongan utama yang komited bagi meningkatkan keyakinan pasaran di Malaysia sebagai destinasi pelancongan perniagaan serta percutian.

Empat pihak terbabit adalah MACEOS, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia dan Malaysia Aviation Group (MAG) yang mewujudkan penyelesaian pengembaraan komprehensif serta selamat yang turut diperakui oleh Bureau Veritas Certification Malaysia.

Selain itu, tujuh pusat konvensyen Malaysia telah menerima pensijilan SafeBE yang diaudit oleh Bureau Veritas bagi mengiktiraf komitmen mereka ke arah memastikan perjalanan acara perniagaan yang selamat secara menyeluruh.

Lokasi terbabit adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Connexion Bangsar South, Pusat Konvensyen Setia City, Setia SPICE Pulau Pinang, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

"Semua pihak bertanggungjawab untuk saling menjaga keselamatan di antara satu sama lain. Saya juga menggesa ahli-ahli MACEOS dan penggiat industri untuk terus mematuhi SOP serta mengambil langkah berjaga-jaga agar pemulihan ekonomi ini dapat dipercepatkan,” katanya. - Bernama