Hishammuddin tak perlu letak jawatan: Ismail Sabri

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak perlu meletakkan jawatannya biarpun didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia kerana kesalahan yang dilakukan Hishammuddin itu bukanlah satu jenayah.

"Langgar SOP bukannya jenayah. Tidak ada sangkut paut dengan jenayah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah keluarkan kompaun.

"Kalau sesiapa kena kompaun perlu letak jawatan, saya ingat tiada siapa yang boleh bekerja sebab semua kena letak jawatan," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 di Management & Science University (MSU), di sini, pada Isnin.

Ismail Sabri (tengah) merasmikan pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 sambil disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) yang diadakan di Management & Science University (MSU) pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Ismail Sabri (tengah) merasmikan pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 sambil disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) dan Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (kanan) yang diadakan di Management & Science University (MSU) pada Isnin. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong pada Ahad mengakui khilafnya kerana melanggar SOP ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Briged MIC Johor pada Ahad.

Hishammuddin dalam ciapan di Twitter rasminya menyatakan beliau hadir sebagai tetamu dalam majlis itu dan mengakui memang ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ekoran kejadian itu, beberapa pemimpin pembangkang turut mendesak Hishamuddin meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sebelum ini ramai pegawai dan kakitangan kerajaan turut dikenakan kompaun disebabkan pelanggaran SOP.

"Pegawai dan kakitangan kerajaan ramai yang kena (kompaun), jadi takkan semua kena letak jawatan.

"Yang pentingnya tindakan telah diambil. Maknanya kerajaan ambil serius dan sesiapa sahaja yang melanggar SOP tak kiralah menteri, timbalan menteri atau ketua jabatan semua diambil tindakan," tegasnya.

Menurutnya, kompaun yang dikenakan kepada Hishammuddin dan dua lagi pemimpin yang hadir pada majlis itu membuktikan kerajaan tidak pilih kasih dalam menguatkuasakan SOP berkenaan.

Jelasnya, tidak ada konsep pemimpin atasan adalah golongan kayangan dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

"Siapa sahaja yang melakukan kesalahan melanggar SOP akan dikenakan kompaun.

"Tidak ada konsep orang atas adalah golongan kayangan dan tak kena kompaun," katanya.