Penduduk jumpa 7 tong bau macam cuka

Anggota Bomba dari Unit Hazmat mengambil bacaan pada beberapa tong yang dijumpai di kawasan parit berhampiran SMK Tanjung Puteri Resot, Pasir Gudang hari ini. - Foto Raja Jaafar Ali
A
A

PASIR GUDANG - Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort mendakwa telah menemui tujuh tong biru mencurigakan di bawah jambatan dan longkang kira-kira 500 meter dari SMK Tanjung Puteri Resort.

Salah seorang penduduk, Ahmad Roh Ariffin, 50 berkata ketika memeriksanya mereka mendapati bahan di dalam tong itu berbau seperti cuka.

"Penduduk memikat ayam jumpa sejak Khamis lalu dan masa itu kita dah laporkan kepada pihak berkuasa namun tiada tindakan sampai hari ini.

"Kita jumpa empat tong bawah jambatan ini dan tiga tong lagi dalam parit. Masa turun tengok kita ada terhidu seperti cuka pada tong itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi penemuan tujuh tong mencurigakan di belakang SMK Tanjung Puteri Resort, hari ini.

Jarak kawasan penemuan empat tong di bawah jambatan dengan penemuan tiga tong di kawasan parit kira-kira 200 meter.

Hari ini, Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Syed Othman Abdullah hadir ke lokasi selepas menerima aduan dan difahamkan perkara tersebut telah disampaikan kepada Datuk Osman Sapian.

Petugas Jabatan Alam Sekitar menunjukkan sampel yang disambil daripada tong yang dijumpai dibawah jambatan berhampiran SMK Tanjung Puteri Resot, Pasir Gudang hari ini. - Foto Raja Jaafar Ali
Petugas Jabatan Alam Sekitar menunjukkan sampel yang disambil daripada tong yang dijumpai dibawah jambatan berhampiran SMK Tanjung Puteri Resot, Pasir Gudang hari ini. - Foto Raja Jaafar Ali

Kemudian, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor tiba di lokasi dan mengambil sampel berwarna hitam pekat.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba Malaysia turut tiba dan mengambil bacaan pada mulut tong.

Dalam pada itu, Ahmad Roh berkata Sungai Sembilang yang bersambung terus dengan Sungai Kim Kim sudah lama tercemar.

"Keadaan sungai itu memang begitu dah kotor bertahun-tahun...lebih lima tahun lepas tapi tiada tindakan.

"Punca kotor kita tidak pasti mungkin kerana sisa perumahan berdekatan atau kilang-kilang dekat-dekat sini," katanya yang tidak mahu kes pencemaran kimia di Sungai Kim Kim berulang.

Dia berharap tong-tong tersebut dikeluarkan segera dan kawasan itu dibersihkan supaya tidak menjadi lebih parah.

[LANGSUNG] Perkembangan di belakang SMK Tanjung Puteri Resort berikutan penemuan tong-tong biru mencurigakan di bawah jambatan dipercayai mengandungi bahan berbau seperti cuka.

Posted by Sinar Harian on Monday, March 18, 2019