Bomba Pahang aktif Bilik Gerakan Jerebu

Operasi pemadaman kebakaran terbuka sekitar Pulau Serai, peramu, PIC ehsan bomba
Operasi pemadaman kebakaran terbuka sekitar Pulau Serai, peramu, PIC ehsan bomba
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Jerebu di Ibu Pejabat JBPM Pahang sejak semalam bagi menangani peningkatan kes kebakaran terbuka secara mendadak melibatkan tiga daerah di negeri ini.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata, semua balai bomba di daerah terlibat, Kuantan, Pekan dan Rompin ditukarkan penggiliran tugas sementara daripada 12 jam kepada 24 jam bagi meningkatkan keanggotaan pada satu-satu masa.

Menurutnya, ketika ini, 258 anggota termasuk 13 dari agensi luar sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran terbuka di daerah tersebut.

“Dari segi logistik, JBPM Pahang telah menyelaras kekuatan dengan pelarasan jentera dari daerah-daerah berkaitan.

“Selain itu juga kita juga mendapat koordinasi yang baik a daripada agensi-agensi kerajaan lain termasuk polis, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Angkatan pertahanan Awam laysia (APM), Ahli Gebeng Emergency Mutual Aid (GEMA) dan pemilik ladang," katanya.

Beliau berkata, kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat secara mendadak apabila 680 kes direkodkan sehingga semalam berbanding 188 kes dalam tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sehingga 265 peratus.

Menurutnya, daerah Kuantan menerima panggilan kebakaran terbuka tertinggi iaitu 321 kes diikuti Pekan, 152 kes dan Temerloh 131 kes.

“Ketika ini tujuh kawasan utama berlaku kebakaran terbuka termasuk di daerah Pekan, Rompin dan Kuantan.

Artikel Berkaitan:

“Antara kawasan terlibat sekitar Kampung Permatang Nangka, Pulau Serai, Peramu melibatkan kawasan seluas 6.2 hektar dan setakat ini 5.6 hektar yang terbakar berjaya dipadamkan,” katanya.

Nor Hisham berkata, kebakaran turut berlaku di kawasan Hutan Sungai Miang, kawasan Ladang Pekan Timur dan Jalan Pekan-Nenasi melibatkan keseluruhan kawasan seluas 22 hektar.

Beliau berkata daripada keseluruhan kawasan yang terbakar itu, 10.4 hektar daripadanya sudah Berjaya dipadamkan.

“Kebakaran terbuka di kawasan sempadan Nenasi dan Rompin mencatatkan keluasan agak besar iaitu 40 hektar. Setakat ini 17.2 hektar kawasan terlibat, api berjaya dipadamkan.

“Sementara itu di Kuantan, dua kawasan dilaporkan berlaku kebakaran terbuka iaitu kebakaran belukar dan tanah gambut di Gebeng melibatkan kawasan seluas 10.4 hektar,” katanya.