UMNO Kedah perlu nilai semula hubungan dengan Pas

Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

MERBOK - UMNO Kedah perlu menilai semula hubungan bersama Pas yang dilihat sombong

bagi menjamin kestabilan politik di negeri ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tidak produktif jika UMNO dan Pas terus berpura-pura boleh bekerjasama sedangkan hubungan kedua-dua parti seolah-olah tidak dapat diselamatkan.

Shaiful Hazizy juga meminta Pas memaklumkan mereka jika mahu memilih haluan berbeza dan tidak perlu bermusuh.

"Pas harus berhenti berlagak sombong sementara UMNO mesti berani mengambil ketetapan bermaruah.

"Secara peribadi, saya tidak melihat wujud potensi dan masa depan yang baik dari kedudukan dan hubungan sedia ada," katanya melalui kenyataan di Facebook pada Ahad.

Reaksi berikut sebagai respon susulan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyatakan bahawa kestabilan politik boleh dicapai jika UMNO tidak lagi memerintah.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai, Johor Bahru pada Sabtu.

Menurut Shaiful Hazizy, kenyataan itu disifatkan bukan sahaja kasar namun memberi gambaran jelas persepsi Pas terhadap UMNO sekali gus boleh menjadi penanda aras kedudukan semasa Muafakat Nasional.

"Pada Pas (Kedah), UMNO bukanlah rakan yang mereka hormati.

"Saya ingin terlebih dahulu mengajak Menteri Besar Kedah ini untuk kembali bersama-sama berpesan pada diri kita sesungguhnya tidak ada kerajaan angkuh yang selamat," katanya.

Shaiful Hazizy turut menyifatkan, kerajaan Kedah selama ini stabil kerana UMNO berlapang dada.

"Kerajaan Pas di Kedah terbentuk dengan sokongan UMNO malah dalam kebanyakan kerajaan sama ada di peringkat pusat dan negeri, UMNO adalah entiti yang sama-sama membentuk kerajaan.

"Benar, tanpa UMNO masih ada kerajaan di sesetengah negeri akan kekal memerintah namun untuk menyatakan bahawa tanpa UMNO, semua kerajaan ini dan politik kita akan lebih stabil, adalah tidak berasas dan tidak berpijak di bumi nyata,"katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi bahawa kestabilan politik dalam negara seperti yang sering dilaungkan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO disifatkan hanya boleh dicapai sekiranya parti itu tidak lagi memerintah.

Menurut Muhammad Sanusi, ia berikutan ketidakstabilan politik berlaku sehingga beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan disebabkan tindakan BN selepas diberi peluang kembali memerintah.