Tok Bali jadi pelabuhan hab eksport halal rantau Asia

Nik Muhammad Zawawi menandatangani plak perasmian produk tempatan di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Bandar Baharu Pasir Puteh pada Sabtu.
Nik Muhammad Zawawi menandatangani plak perasmian produk tempatan di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Bandar Baharu Pasir Puteh pada Sabtu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan akan menjadikan Tok Bali, di sini sebagai pelabuhan hab halal bagi sumber makanan bukan sahaja di negara ini malah kawasan rantau Asia pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI II), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, menerusi konsep tersebut, Tok Bali akan menjadi pangkalan yang bertindak sebagai pengeluaran; pemprosesan, pengumpulan dan pengedaran segala produk halal termasuklah keluaran agensi kerajaan yang telah ada pada hari ini.

"Melalui Pelabuhan Tok Bali ini, kita akan eksport produk halal ke mana-mana negara. Sebagai contoh daging yang diimport dari negara luar, kita akan kumpul di Tok Bali untuk memastikan produk tersebut adalah halal," katanya semasa merasmikan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Bandar Baharu Pasir Puteh di sini pada Sabtu.

Menurutnya, konsep itu bersesuaian memandangkan Tok Bali berada di laluan laut yang cukup strategik dengan China dan Taiwan.

Katanya, kewujudan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Tok Bali akan memperkasakan lagi sistem pengangkutan dan jaringan perhubungan.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, kerajaan akan membina sebuah kilang sardin di Tok Bali dengan memenuhi piawaian halal sebagaimana yang telah tetapkan oleh Islam.

"Mengikut perancangan projek kilang sardin itu akan bermula menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Setakat ini sebuah kilang memproses air sudah hampir siap dan dijangka boleh beroperasi tidak lama lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Muhammad Zawawi berkata, situasi tersebut dilihat memberi keyakinan kepada pengusaha bot-bot laut dalam untuk melabuhkan hasil tangkapan mereka di Tok Bali secara tidak langsung membolehkan pihak tersebut memasarkan sendiri hasil laut negara.