Kelantan peruntuk RM700,000 bantu mangsa banjir

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (tengah), Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah (kiri) dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan (kanan) ketika sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Pasca Banjir 2021 pada Sabtu.

A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM700,000 untuk diagihkan kepada rakyat negeri itu yang terjejas akibat banjir buruk Disember lalu.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, jumlah itu melibatkan 1,341 keluarga di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

"Di Selangor, seramai 552 ketua keluarga menerima bantuan berupa wang tunai RM500 dan diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka akibat kemusnahan ketika banjir besar baru-baru ini.

"Kita akan menyampaikan bantuan sama kepada rakyat Kelantan yang turut terjejas di tiga negeri lain iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Pasca Banjir 2021 di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub serta Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob (dua dari kanan) menyampaikan bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Kebajikan Pasca Banjir 2021 Anak Kelantan di Perantauan yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Disember lalu, negara dikejutkan dengan musibah banjir dan mengakibatkan ribuan penduduk di Hulu Langat, Shah Alam serta beberapa kawasan di Kuala Lumpur dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, selain ribuan pengguna jalan raya termasuk di luar Lembah Klang terkandas selepas banyak jalan ditenggelami air.

Dalam perkembangan sama, Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Selangor yang membantu rakyat Kelantan ketika musibah banjir melanda di beberapa daerah negeri itu.

"Sebelum ini juga kita telah salurkan bantuan berjumlah RM100,000 kepada mangsa banjir di Selangor sebagai tanda solidariti kepada mereka yang terjejas teruk akibat banjir.

"Justeru saya ingin ucapkan terima kasih kepada kerajaan Selangor yang sama-sama membantu orang Kelantan yang terlibat banjir," katanya.