Enam negara berminat uji Harimau Malaya

Mohd Saifuddin
Mohd Saifuddin
A
A
A

JENDELA perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan dilihat menjadi medan sulung buat ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menguji kekuatan pasukan menjelang pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan pada perlawanan persahabatan antarabangsa itu, sebanyak enam negara telah menyatakan minat untuk beraksi menentang skuad Harimau Malaya.

Tanpa mendedahkan negara-negara tersebut, Mohd Saifuddin berkata, FAM terlebih dahulu akan mendapatkan pandangan daripada Pan-gon sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

"FAM akan umumkan mengenai perlawanan persahabatan semasa sidang akhbar bersama Kim (Pan-gon) nanti. Setakat ini, FAM sudah menerima pelawaan dari enam negara tetapi tidak boleh mengulas lanjut.

"FAM kena dapatkan keputusan daripada jurulatih sama ada beliau bersetuju atau tidak untuk bermain dan perlawanan-perlawanan mana yang dia hendak (daripada kesemua pelawaan),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jendela perlawanan antarabangsa FIFA bermula dari 21 hingga 29 Mac ini adalah jendela terakhir sebelum pasukan negara menghadapi kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Saifuddin menjelaskan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan terpaksa berlepas sehari lebih awal menyertai Kejuaraan B-23 AFF 2022 di Phnom Penh, Kemboja berikutan permintaan daripada pihak penganjur.

Katanya, disebabkan permintaan tersebut, skuad kendalian Ketua Jurulatih, Brad Maloney itu yang berlepas ke Kemboja pada Jumaat, terpaksa melupakan hasrat mengadakan aksi pemanas badan menentang Singapura yang dijadual diadakan pada Rabu dan Khamis lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: