Jemaah umrah tarik nafas lega

Jemaah umrah sudah pastinya menarik nafas lega apabila mereka dapat menuntut pampasan daripada kerajaan berikutan kerugian yang dialami sepanjang penangguhan sementara ke Tanah Suci baru-baru ini. - Gambar hiasan
Jemaah umrah sudah pastinya menarik nafas lega apabila mereka dapat menuntut pampasan daripada kerajaan berikutan kerugian yang dialami sepanjang penangguhan sementara ke Tanah Suci baru-baru ini. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Jemaah umrah sudah pastinya menarik nafas lega apabila mereka dapat menuntut pampasan daripada kerajaan berikutan kerugian yang dialami sepanjang penangguhan sementara ke Tanah Suci baru-baru ini.

Berita gembira tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pada Jumaat yang mana masing-masing boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan dengan hanya membawa kad pengenalan diri.

Jelas beliau, jemaah juga tidak perlu melakukan sebarang pendaftaran memandangkan senarai nama akan diberikan oleh agensi pelancongan yang mengendalikan umrah mereka.

Justeru, keputusan kerajaan membenarkan jemaah membuat tuntutan tersebut sedikit sebanyak mengubat kekecewaan bagi mereka yang sepatutnya terbang mengerjakan umrah Januari lalu, lebih-lebih lagi bagi jemaah yang mungkin tidak dapat pergi dalam masa terdekat kerana komitmen kerja dan urusan lain.

Selain itu, pemberian pampasan itu juga dapat membantu jemaah sekiranya perlu menanggung kerugian tertentu termasuk bayaran yang telah dibayar kepada agensi umrah.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, kerajaan akan membayar 50 hingga 60 peratus kerugian yang dialami oleh jemaah umrah sepanjang penangguhan sementara ibadah tersebut selama sebulan, bermula 8 Januari.

Beliau berkata, Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah melakukan tapisan senarai jemaah yang menanggung kerugian, bagaimanapun proses berkenaan masih dalam penelitian di peringkat akhir dan ia dijangka dapat diselesaikan pada pertengahan bulan ini.

Justeru, kenyataan beliau itu telah menimbulkan pelbagai persoalan dan perdebatan daripada pelbagai pihak terutama agensi yang mengendalikan umrah dan juga para jemaah.

Artikel Berkaitan:

Ada yang berpendapat, mekanisme pampasan untuk jemaah perlu diberi keterangan semula dengan mengambil kira pelbagai aspek.

Ini termasuklah kesemua kerugian seperti tempahan hotel penginapan, pengangkutan dan kos-kos yang lain.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan mengumumkan keputusan menangguhkan ibadah umrah buat sementara berkuat kuasa 8 Januari berikutan penularan jangkitan Omicron.

Tiga minggu kemudian, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk membenarkan semula perjalanan umrah bagi jemaah dari Malaysia bermula 8 Februari.

Susulan daripada pembukaan semula perjalanan kepada jemaah umrah tersebut, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi ibadah umrah akan berkuat kuasa mulai Selasa ini.

Antara SOP baharu itu adalah keperluan 'Person incharge (PIC)' dari agensi pelancongan untuk memantau kepatuhan jemaah umrah, selain mewajibkan dos penggalak dan membenarkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman tanpa memohon kelulusan Home Quarantine Application (HQA).

Sehubungan itu, bakal jemaah perlu menitikberatkan prosedur operasi standard SOP tersebut bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini kerana sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19 dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 20,939 kes jangkitan Covid-19 pada Jumaat berbanding 19,090 kes pada Khamis.