Lima pegawai kanan Mara hadir untuk dirakam percakapan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berada di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dekat sini pada Jumaat.

Difahamkan mereka tiba jam tiga petang dipercayai bagi merakamkan percakapan selepas didakwa terlibat dalam isu integriti dan salah guna kuasa.

Menurut sumber, proses siasatan dijangka berlanjutan sehingga malam.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan mengesahkan kehadiran kelima-lima individu tersebut.

"Mereka masuk jam tiga petang tadi, sekarang masih belum keluar," katanya.

SPRM memulakan siasatan terhadap Mara dengan melakukan serbuan di tiga lokasi berasingan di Jalan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang pada Isnin lalu.

Ia selepas sepucuk surat berhubung permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara tular di Twitter pada Jumaat minggu lalu.

Pendedahan itu dilakukan oleh pemilik akaun @ES_EdisiKhas yang melampirkan enam helai surat tersebut berhubung integriti pegawai-pegawai Mara.

Artikel Berkaitan:

Surat yang bertarikh 30 Januari itu dihantar oleh Pengerusi Eksekutif Mara Corporation, Datuk Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun.

Azizah kemudiannya berkata bahawa Mara telah memulakan siasatan lanjut di Mara Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.