Salahuddin hantar lagi usul gesa bahas isu Azam di Parlimen

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub sekali lagi menghantar usul tergempar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada Khamis bagi membincangkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Usul itu dipaparkan di akaun Twitternya pada Jumaat dengan harapan tidak lagi ditolak malah perlu dibahaskan pada sidang Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 sehari selepas Titah Diraja pada 1 Mac depan.

Beliau berkata, ia penting bagi mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap kredibiliti dan integriti SPRM.

“Harapnya usul tergempar mengenai Ketua SPRM mempunyai jumlah saham yang melampau ini tidak lagi ditolak untuk dibahaskan.

“Kita wajib mengembalikan kepercayaan orang awam terhadap kredibiliti dan intergiti SPRM. Jika bukan di Parlimen di mana lagi?” ciapnya.

Beliau turut menggariskan tiga perkara usul itu perlu disegerakan.

“Perkara ini perlu disegerakan untuk menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) melakukan siasatan dengan lebih lanjut terhadap dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau seperti yang dilaporkan oleh akhbar rasmi.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah perkara berkenan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah dan segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungjawab untuk menjawab perkara ini.

“Perkara ini adalah perkara tertentu berkaitan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau,” menurut surat tersebut,

Beliau percaya isu tersebut mengenai kepentingan orang ramai yang perlu disegerakan selari dengan peruntukan Peraturan Mesyuarat 18(1)(2).

Sebelum ini, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham mencecah nilai jutaan ringgit di beberapa syarikat.

Bagaimanapun, Azam dalam satu sidang akhbar khas memaklumkan saham itu merupakan milik adiknya yang dibeli menggunakan akaunnya pada 2015.