JAIPk benar masjid, surau buka ruang solat tambahan

Kawasan masjid selain ruang solat utama boleh dijadikan ruang mendirikan solat jika terdapat keperluan berbuat demikian. - Foto fail Bernama
Kawasan masjid selain ruang solat utama boleh dijadikan ruang mendirikan solat jika terdapat keperluan berbuat demikian. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memberi kebenaran kepada pihak pengurusan masjid, surau diri Jumaat (SDJ) dan surau di negeri ini membuka ruang solat tambahan.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kawasan masjid selain ruang solat utama boleh dijadikan ruang mendirikan solat jika terdapat keperluan berbuat demikian.

Menurutnya, perkara itu dibenarkan berkuat kuasa pada 11 Februari selaras dengan ketetapan kerajaan terhadap aktiviti di masjid dan surau yang boleh diadakan sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara berfasa di Perak.

"Kebenaran ini diberikan kepada mana-mana masjid, SDJ dan surau yang mempunyai ruang utama solat kecil sehingga tidak mampu untuk menampung kepadatan jemaah yang hadir," katanya menerusi surat pekeliling kepada semua jawatankuasa masjid, SDJ dan surau di Perak yang dimuat naik menerusi lama Facebook JAIPk pada Khamis.

Surat Pekeliling JAIPk mengenai kebenaran untuk masjid, SDJ dan surau menambah ruang solat tambahan.
Surat Pekeliling JAIPk mengenai kebenaran untuk masjid, SDJ dan surau menambah ruang solat tambahan.

Mohd Yusop berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mendapat nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, Pengerusi Surau Al-Khairiah Taman Universiti Wallagonia Tapah, Saadullah Abu Mat Suaud menyambut baik pekeliling yang dikeluarkan JAIPk itu.

Menurutnya, kebenaran untuk menggunakan kawasan surau sebagai ruang solat tambahan dapat menampung jemaah yang hadir menunaikan solat fardu.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia juga dapat memberi peluang kepada jawatankuasa surau memastikan ahli kariah dapat menunaikan solat berjemaah di surau berkenaan.

Bagi Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 3 Manjoi, Ahmad Shamhan Itam Ahmad menyifatkan inisiatif itu selain dapat menambah bilangan jemaah, ia memberi keselesaan kepada mereka yang hadir ke masjid.

"Sebagai AJK masjid, saya berpandangan kebenaran itu merupakan satu perkara yang baik kerana ia dapat memberikan ruang yang lebih kepada jemaah untuk menunaikan solat dan beraktiviti di masjid, terutama untuk solat Jumaat memandangkan kehadiran jemaah yang ramai berbanding waktu biasa.

"Pengumuman ini sekali gus dapat memberi peluang ahli kariah masjid untuk mengimarahkan masjid terutama untuk solat Jumaat," katanya.