BATC 2022: Peluang serlah potensi sebenar

Tze Yong antara pemain muda yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi sejak tahun lalu.
Tze Yong antara pemain muda yang semakin menunjukkan peningkatan prestasi sejak tahun lalu.
A
A
A

"BUKTIKAN pemilihan anda dalam menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 adalah tepat!”

Itu cabaran yang dilontarkan bekas jaguh negara, Roslin Hashim kepada barisan pemain muda perseorangan Malaysia yang dipilih membawa cabaran pada BATC 2022 yang bakal menyingkap tirai di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam mulai 15 Februari ini.

Menurut Roslin, pemain-pemain muda yang dipilih kali ini juga perlu membuktikan bahawa pemilihan mereka bukan sekadar ‘tangkap muat' bagi melengkapkan kuota cabaran pasukan negara.

“Dari segi pengalaman sememangnya belum cukup lagi, namun sebenarnya inilah peluang terbaik pemain muda ini membuktikan sesuatu, apatah lagi berdepan pasukan seperti Jepun dan Singapura.

“Pemain muda jangan terlalu berharap kepada pemain utama seperti Lee Zii Jia, sebaliknya letakkan matlamat dalam diri masing-masing untuk menampilkan prestasi yang baik, itu penting.

“Pemain-pemain itu juga kena buktikan mereka bukan hanya mampu berikan yang terbaik tetapi tampil sehabis baik dalam setiap perlawanan memandangkan mereka beraksi di depan penyokong sendiri.

“Peminat badminton negara mahu melihat semangat juang setiap pemain. Tidak dinafikan kemenangan itu penting, namun semangat melawan di gelanggang lagi penting,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada BATC 2022, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan menyenaraikan enam pemain perseorangan lelaki diketuai Zii Jia selain Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Kok Jing Hong.

Artikel Berkaitan:

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula mengetuai cabaran beregu negara selain dua pasangan muda - Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Dalam pada itu, Kumpulan A pula menampilkan juara tiga kali berturut-turut, Indonesia (2016, 2018 2020) selain India, Korea Selatan dan Hong Kong.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan terus mara ke peringkat separuh akhir, sekali gus menempah tiket kelayakan automatik ke Piala Thomas dan Piala Uber 2022 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand.

Mengenai Zii Jia, Roslin berharap pemain nombor tujuh dunia itu akan membuktikan sesuatu dalam kejohanan tersebut selepas mendapat ‘lampu hijau' daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional.

“Zii Jia kena cool and enjoy the game, sebab tiada sebarang tekanan kerana dia kini bergerak solo. Jangan letak diri ‘aku sekarang bukan lagi dalam BAM atau sebaliknya'.

“Harus diingat Zii Jia masih mempunyai tanggungjawab terhadap negara, sama ada dia sebagai pemain yang berada di bawah naungan BAM atau pemain profesional.

“Jangan terlalu fikir expectations peminat badminton selepas keluar BAM kerana sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, tekanan itu perkara biasa,” ujarnya.

INFO

Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022

LELAKI

Kumpulan A

Indonesia, India, Korea Selatan, Hong Kong

Kumpulan B

Jepun, Malaysia, Singapura, Kazakhstan

WANITA

Kumpulan Y

Jepun, India, Malaysia

Kumpulan Z

Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong, Kazakhstan