TM hanya penyewa, tidak terbabit dalam penjualan Menara TM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Bhd (TM) pada Rabu menjelaskan bahawa ia merupakan penyewa di Menara TM yang terletak di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.

TM dalam satu kenyataan turut menegaskan bahawa ia bukan pemilik bangunan itu dan tidak terbabit langsung dalam usaha jualan oleh pemilik hartanah tersebut, Menara ABS Bhd.

"Syarikat kini dalam proses menempatkan semula sebahagian besar daripada pejabat korporat TM di hartanah miliknya, termasuk TM Annexe 1 dan TM Annexe 2 serta di Cyberjaya.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha pengoptimuman syarikat bagi mempertingkat kecekapan dan ketangkasan selain selaras dengan persekitaran kerja secara hibrid,” katanya.

Menara TM yang disifatkan sebagai ikonik itu kini ditawarkan di pasaran pada harga yang tidak didedahkan jumlahnya.

Iklan yang disiarkan oleh The StarBiz pada Rabu menyatakan bahawa penjualan Menara TM itu dijalankan secara pernyataan minat dan tarikh tutup bagi jualan peringkat pertama ditetapkan pada 12 tengah hari, 18 Mac, 2022. - Bernama

Artikel Berkaitan: