PAC bincang kedudukan Ronald Kiandee minggu ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbincangan berkaitan posisi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dijangka akan diadakan minggu ini bagi menilai kedudukan semasa Pengerusinya,Datuk Seri Dr Ronald yang kini telah menyertai Bersatu.

Ahli PAC, Wong Chen berkata, dalam mesyuarat itu semua ahli akan mendengar pandangan masing-masing termasuk Ronald Kiandee sendiri

"Sepatutnya dijadualkan mesyuarat akan dibuat minggu depan. Tetapi kita akan panggil secepat mungkin.

"Mesyuarat itu akan diuruskan oleh ahli PAC. Kita cuba fahami kedudukan pengerusi PAC dan beri maklum balas mengenainya," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Ronald kekal selaku Pengerusi PAC biarpun beliau telah keluar daripada UMNO Sabah dan menyertai Bersatu.

Keputusan itu bagaimanapun dikritik segelintir pihak termasuk UMNO yang menggesa agar jawatan itu dikembalikan kepada wakil pembangkang seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU14.

Dalam pada itu, Wong Chen berkata semua hasil perbincangan dalam mesyuarat PAC akan dikemukakan ke Kabinet.

Menurut beliau, Kabinet akan putuskan kedudukan pengerusi PAC.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi, sebaiknya kita mahu beri kebebasan dan ingin melihat pembangkang menjadi pengerusi PAC," katanya

Ahli Parlimen Subang Jaya itu menambah, beliau bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebaiknya Pengerusi PAC diberi kepada pembangkang berikutan jawatankuasa itu juga adalah satu medan untuk menangani isu pembaziran dan rasuah.

Katanya, jika tidak, pihak di luar akan menyalahkan PAC dengan mendakwa cuba menyembunyikan maklumat.

"Jadi penting di dalam Malaysia baharu untuk PAC diketuai oleh pembangkang di mana ini juga telah dipratikkan di lain-lain negara.

"Bagaimanapun kita ambil nasihat Perdana Menteri dan akan mendengar pandangan calon Pengerusi PAC daripada pembangkang, Datuk Noraini Ahmad juga," katanya.