Perompak profesional guna gas pecah mesin ATM kebas RM260,000

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KLANG - Kejadian rompakan di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru di sini pada Selasa dipercayai dilakukan oleh penjenayah profesional.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dua orang suspek menggunakan sejenis gas yang disalurkan menggunakan wayar ke dalam komponen sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum meletup.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati kedua-dua suspek ada kemahiran dan profesional boleh masuk premis itu sehingga memecahkan (meletupkan) mesin ATM.

"Kejadian sebegini pernah berlaku di beberapa buah tempat termasuk di Johor sebelum ini. Susulan letupan itu, kedua-dua suspek tersebut berjaya melarikan wang berjumlah RM260,000," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini pada Rabu.

Menurutnya, kedua-dua suspek tersebut dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, dua penjenayah meletupkan sebuah ATM di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru di sini awal pagi Selasa.

Kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai kira-kira jam 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM telah terbuka.

Mengulas lanjut, Vijaya berkata, suspek melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan disyaki kereta klon dengan nombor pendaftaran palsu.

Katanya, pihak polis masih berusaha mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: