BATC 2022: Siti Nurshuhaini siap sedia julang nama Malaysia

Siti Nurshuhaini dijangka beraksi sebagai pemain perseorangan ketiga skuad wanita negara.
Siti Nurshuhaini dijangka beraksi sebagai pemain perseorangan ketiga skuad wanita negara.
A
A
A

PEMAIN perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini Azman bertekad untuk menggunakan pengalaman berharga diperoleh ketika kempen Piala Uber 2020 di Aarhus, Denmark pada Oktober tahun lepas dengan sebaiknya bagi menampilkan aksi terbaik pada Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC) 2022 yang bermula Selasa ini.

Pemain berusia 18 tahun kelahiran Rawang, Selangor itu mengakui walaupun ada jurang yang besar antara beliau dan pemain terbaik dunia ketika itu, ia tidak melunturkan semangatnya untuk menimba ilmu sepanjang kejohanan berpasukan wanita dunia itu berlangsung.

Pemain ranking ke-309 dunia itu yang dijangka diturunkan sebagai perseorangan wanita ketiga negara pada BATC 2022 selepas Eoon Qi Xuan dan S Kisona berkata, beliau dijangka memerlukan kira-kira empat tahun lagi untuk menjadi antara pencabar utama di pentas kejohanan dunia.

"Ketika di Piala Uber, saya dapat belajar daripada pemain bertaraf dunia, cara mereka bermain dan ‘attitude’ dalam dan luar gelanggang. Mula-mula agak gementar, tetapi saya berjaya menukarkan mindset bahawa saya bermain untuk pengalaman, dan seterusnya mampu memberi sedikit saingan di sana.

"Bagi BATC, saya teruja diberi peluang dalam pasukan. Saya akan ambil peluang ini dan cuba buat yang terbaik, buktikan saya mampu beri saingan kepada pencabar lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara di sini pada Selasa.

Di Aarhus, Siti Nurshuhaini tewas 8-21, 3-21 kepada pemain China He Bing Jiao, yang kini menduduki ranking kesembilan dunia, di peringkat kumpulan.

Siti Nurshuhaini yang baru sebulan dinaikkan ‘pangkat’ ke pasukan senior kebangsaan berkata, ketinggiannya yang hanya mencecah 154cm, tidak mematahkan semangatnya untuk terus bekerja keras dalam mengejar impian menjadi antara pemain terbaik dunia.

Malah, beliau menjadikan pemain nombor satu dunia dari Taiwan Tai Tzu-ying dan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi, masing-masing yang hanya mempunyai ketinggian 163cm dan 156cm sebagai idolanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara Myisha Mohd Khairul yang teruja untuk beraksi buat kali pertama dalam kejohanan berpasukan bersama skuad senior, mahu membuktikan kemampuannya dengan menampilkan prestasi terbaiknya.

"Saya dah bersedia dan tidak sabar nak bermain, memang latihan selama ini saya fokus untuk pamer aksi yang baik. Memang pasukan lain pun akan memberikan cabaran sengit kerana mereka lebih kuat dan berpengalaman, jadi harap kita boleh buat yang terbaik,” katanya.

Bagi BATC yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam dari 15 hingga 20 Februari ini, skuad wanita Malaysia diundi dalam Kumpulan Y bersama-sama juara bertahan Jepun dan India, manakala Kumpulan Z dibarisi naib juara Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan. - Bernama