Kru bot nelayan dikhuatiri lemas ketika tangkap siput

Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT mencari kru bot yang dikhuatiri lemas di kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Ayob)
Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi CARILAMAT mencari kru bot yang dikhuatiri lemas di kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah pada Selasa. (Gambar kecil: Mohd Ayob)
A
A
A

KUALA KEDAH - Seorang kru bot nelayan kelas A dikhuatiri lemas di kedudukan 6.7 batu nautika barat laut Kuala Kedah pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa, Mohd Ayob Jalaluddin,39, dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 5.30 pagi.

Beliau memberitahu, mangsa dipercayai terjatuh setelah bot dinaiki dibadai ombak yang kuat semasa dalam perjalanan balik ke pangkalan.

“Bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Kuala Sala itu sedang melakukan aktiviti menangguk atau tangkap siput sebelum tekong menyedari mangsa telah tiada di atas bot.

“Susulan itu, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan Operasi Carilamat dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 sejurus menerima maklumat daripada pengadu Ismail Saidin bagi mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Noor Azreyanti memaklumkan, usaha mengesan mangsa turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.

Dalam perkembangan sama, operasi mencari dan menyelamat mangsa di Jeti Nelayan Kuala Kuar, dekat sini, ditangguhkan kira-kira jam 7 petang.

Ujarnya, buat masa ini, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan pencarian akan disambung semula pada jam 8 pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, Maritim Malaysia khususnya Zon Maritim Kuala Kedah mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan.

“Antaranya, memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB),” katanya.

Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.