Barat jangan 'double standard' lawan golongan ekstremis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMUA negara dunia, khususnya Barat yang banyak memperjuangkan isu hak asasi manusia dan yang banyak menentang sebarang bentuk diskriminasi serta prejudis perlu bersikap lebih adil dalam perjuangan mereka.

Semua negara perlu mengambil tindakan yang sama adil dalam mengatasi dan membendung sebarang elemen yang boleh melahirkan sikap kebencian, perasaan marah serta keganasan terhadap mana–mana pihak tanpa mengambil kira latar belakang, bangsa serta agama mangsa yang terlibat.

Jumaat, 15 Mac lalu seluruh dunia telah dikejutkan dengan insiden pembunuhan kejam 50 orang di dua buah Masjid di bandar raya Christchurch, New Zealand oleh pelampau kulit putih. Berpuluh orang lagi dilaporkan mengalami kecederaan akibat daripada serangan tidak berperikemanusiaan tersebut, termasuk kanak–kanak.

Keganasan yang dilakukan ini menunjukkan sikap diskriminasi dan prejudis terhadap umat Islam masih wujud dalam kalangan negara–negara Barat. Sikap Islamofobia yang masih wujud ini akan menyebabkan lebih ramai umat Islam hidup dalam ketakutan dan bimbang atas keselamatan diri, sekali gus akan menyukarkan sebarang usaha untuk membawa perpaduan antara masyarakat Barat dengan masyarakat Islam.

Negara–negara Barat perlu mengambil langkah lebih agresif lagi dalam membendung sikap Islamofobia yang wujud di dalam negara mereka sama seperti langkah agresif yang telah diambil oleh mereka dalam membendung sikap anti Semetik di dalam negara mereka.

Semenjak tamat Perang Dunia Kedua pada 1945, banyak negara di Barat telah mengambil langkah agresif bagi melindungi masyarakat Yahudi yang telah menjadi mangsa korban ketika Perang Dunia Kedua daripada menjadi mangsa golongan anti Semetik.

Anti Semitik bermaksud sebarang tindakan diskriminasi, prejudis, serta keganasan yang dilakukan khusus kepada masyarakat berbangsa Yahudi. Islamofobia pula merujuk kepada sebarang tindakan diskriminasi, prejudis, serta keganasan yang dilakukan khusus terhadap masyarakat beragama Islam serta terhadap agama Islam itu sendiri.

Islamofobia dan anti Semitik mempunyai ciri–ciri yang hampir sama iaitu kedua–duanya memberi fokus terhadap perkara yang melibatkan diskriminasi, prejudis serta keganasan yang dilakukan terhadap mana–mana pihak berdasarkan bangsa serta agama mereka.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan kedua–duanya memiliki ciri–ciri yang hampir sama, adalah wajar sekiranya langkah yang hampir sama juga diambil bagi membendung perkara berkenaan daripada berterusan berlaku dalam kalangan negara–negara Barat.

Malangnya, kebanyakan negara Barat memberi fokus terhadap perkara yang berkaitan dengan anti Semitik. Pelbagai jenis undang–undang telah diwujudkan di negara Barat bagi menghentikan sebarang tindakan yang melibatkan anti Semetik. Mana–mana pihak yang cuba membangkitkan isu berbaur anti Semetik akan dikenakan tindakan undang–undang yang keras seperti denda yang tinggi serta hukuman penjara bertahun–tahun lamanya.

Pada awal tahun 2019 ini juga, Amerika Syarikat melalui Dewan Perwakilan Rakyatnya (House of Representative) telah meluluskan rang undang–undang khusus membendung sikap atau tindakan anti Semitik. Ini jelas menunjukkan kepada kita, banyak perhatian diberikan terhadap isu yang melibatkan anti Semetik berbanding isu melibatkan Islamofobia dalam kalangan masyarakat Barat.

Sekiranya Barat benar–benar ikhlas dalam memperjuangkan isu kemanusiaan dan keadilan manusia sejagat, mereka perlu memberi fokus yang sama terhadap isu Islamofobia yang dilihat sedang menular di dalam negara mereka seperti fokus yang telah diberikan mereka terhadap isu anti Semetik.

Tidak boleh wujud sebarang pilih kasih (double standard) dalam perkara ini kerana ia melibatkan isu jenayah kebencian terhadap kaum dan agama tertentu. Tindakan undang–undang yang keras perlu diambil terhadap mana–mana individu, kumpulan, ahli politik serta pemimpin negara yang berterusan menggunakan isu Islamofobia ini.

Isu yang melibatkan Islamofobia ini juga perlu dibawa ke peringkat antarabangsa. Pertubuhan Bangsa–Bangsa Bersatu (PBB) perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas dan lebih keras menentang sebarang tindak–tanduk yang menggambarkan Islamofobia serta mengeluarkan kenyataan keras terhadap sebarang tindakan keganasan yang dilakukan terhadap umat dan agama Islam.

PBB perlu mewujudkan satu bentuk undang-undang peringkat antarabangsa sama ada dalam bentuk protokol, perjanjian, atau konvensyen yang mengharamkan sebarang bentuk sikap Islamofobia di semua negara dunia.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)