TFC jadi keutamaan: Nafuzi

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Mohd Zain menyatakan kesediaan mempertimbangkan tawaran menjadi Penolong Ketua Jurulatih skuad kebangsaan.

Beliau yang merupakan antara individu dikaitkan dengan jawatan itu menyifatkan peluang menyertai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya adalah satu penghormatan dan impian setiap jurulatih.

Namun Mohd Nafuzi yang merasakan dirinya masih baharu dalam dunia kejurulatihan, hanya mahu memberikan tumpuan dan komitmen sepenuhnya membimbing TFC sehingga peluang menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan negara tiba.

Malah, komitmen jurulatih muda yang meningkat naik itu bersama skuad Penyu menjelang kempen Liga Malaysia 2022 juga menyebabkan beliau tidak menghantar permohonan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadi pembantu kepada Ketua Jurulatih yang baru dilantik, Kim Pan Gon.

"Saya tak pernah memohon sebab fokus saya pada TFC dan saya pun tidak terima tawaran daripada FAM untuk jawatan itu. Saya rasa kalau tawaran itu berlaku mungkin saya boleh pertimbangkan tetapi apa-apa pun saya hanya fokus kepada persiapan pasukan saya,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Selain beliau, antara nama lain dikaitkan sebagai pembantu Pan Gon adalah bekas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan, pengendali Sarawak United, E Elavarasan, Penolong Ketua Jurulatih Selangor FC, Mohd Nidzam Jamil dan Penolong Ketua Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid.

Mengulas lanjut, Mohd Nafuzi tidak menyangka namanya boleh dikaitkan sebagai calon pembantu Pan Gon tatkala ramai jurulatih berkaliber yang dirasakannya lebih layak untuk menggalas tugas tersebut.

"Nak cakap gembira tidak, tapi terkejut dan tak sangka nama dicalonkan sebab di Malaysia ramai jurulatih lagi berpengalaman berbanding saya yang baharu dalam Liga-M. "Sekarang saya tengah cari pengalaman dan belajar, bila betu-betul bersedia sampai masanya bolehlah,” kata jurulatih berusia 43 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nafuzi yang merupakan bekas pemain tengah Terengganu, dilantik sebagai Ketua Jurulatih TFC pada hujung musim 2019 selepas lima bulan memangku posisi itu susulan peletakan jawatan Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau mula menabur bakti kepada bola sepak Terengganu sebagai jurulatih skuad Piala Presiden pada 2016 sebelum dilantik sebagai pembantu kepada Irfan Bakti pada 2017 yang menyaksikan pasukan berjaya muncul naib juara Piala Malaysia 2018.

Di bawah kendaliannya, TFC menamatkan saingan Liga Super musim 2020 dan 2021 masing-masing di kedudukan ketiga dan keempat, selain mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia musim lepas.

FAM ketika ini sedang meneliti 10 calon, termasuk seorang jurulatih yang mempunyai "nama besar”, sebagai memenuhi permintaan Pan Gon untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan bagi membantunya. - Bernama