Giliran Gastak terkejut keputusan PJS

Zuraidin
Zuraidin
A
A
A

GABUNGAN Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menegaskan badan induk sepak takraw negeri Cik Siti Wan Kembang itu terkilan keputusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) memberi bayangan untuk mempertimbangkan mewujudkan entiti baharu sepak takraw bagi menggantikan peranan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di peringkat antarabangsa.

Malah menurut Presiden Gastak, Zuraidin Abdullah, kenyataan itu amat mengejutkan kerana dibuat ketika PSM bersama ahli-ahli gabungan sedang melaksanakan usaha bagi menyelamatkan kedudukan PSM serta masa depan sepak takraw negara.

"Sejak tercetusnya isu antara badan induk sepak takraw kebangsaan pada April tahun lalu pelbagai insiden telah berlaku termasuk pernyataan serta bantahan-bantahan sehingga majoriti persatuan negeri-negeri telah keluar daripada menjadi ahli gabungan.

"Pada satu peringkat 11 persatuan negeri yang merupakan tonggak kepada kewujudan PSM telah tidak lagi bernaung di bawah persatuan tersebut.

"Namun, atas komitmen serta rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap sukan takraw, masing-masing telah mengambil keputusan untuk kembali ke meja rundingan dan sepakat mencari jalan penyelesaian," ujar Zuraidin.

Pada masa sama Zuraidin juga menegaskan bahawa PJS merupakan nadi utama yang berusaha untuk mengakhiri kemelut yang menimpa PSM sebelum ini.

"Suka saya ingatkan bahawa 'nadi' yang mengambil peranan besar dan bertungkus lumus mencari titik persamaan serta berusaha mencari kaedah penyatuan semula PSM adalah PJS sendiri.

"Semua pihak yang selama ini terlibat dalam usaha memulihkan PSM sehingga berlangsungnya mesyuarat agung luar biasa serta tindakan yang menjadi titik mula kepada pembaharuan PSM seperti pindaan perlembagaan tentu tahu dan mengakui betapa besar peranan yang telah dimainkan oleh PJS serta semua pihak.

Artikel Berkaitan:

"Apatah lagi apabila kenyataan tersebut dibuat dalam suasana PSM sedang memasuki fasa bagi menganjurkan mesyuarat agung tahunan (AGM) serta ketika berlangsungnya kejohanan penting seperti Liga Sepak Takraw (STL)," ujarnya.

Tambah Zuraidin lagi, situasi terkini tersebut seolah-olah memadamkan semangat juang dan kesukanan yang telah bersama-sama terbina sama ada dalam kalangan penggerak persatuan, pemain, jurulatih serta seluruh jawatankuasa.

"Saya meminta semua rakan-rakan negeri dan penggerak PSM agar bertenang dan tidak mudah membuat kesimpulan.

"Saya dengan ini menyeru agar semua pihak khususnya ahli-ahli gabungan PSM memberi fokus yang tidak berbelah bagi untuk membuat perubahan.

"Kita mahu AGM ini menjadi penentu kepada perubahan PSM dan semua pencinta sukan takraw tentunya mahu menjayakan pelan untuk memulihkan persatuan sukan yang bersejarah ini.

"Biarlah segala perancangan ini berlangsung dengan jayanya dan kepimpinan yang bakal menerajui PSM kelak dapat mengadakan kunjungan hormat untuk membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu ini secara terbuka, telus dan bermaruah," katanya.