Real Madrid alih tumpuan ke LaLiga

Real Madrid sebelum perlawanan menentang Athletic Bilbao di San Mames.
Real Madrid sebelum perlawanan menentang Athletic Bilbao di San Mames.
A
A
A

REAL Madrid kembali memberi tumpuan mengekalkan status pendahulu LaLiga selepas dikejutkan kekalahan 0-1 kepada Athletic Bilbao dalam suku akhir Piala Raja Sepanyol di San Mames.

Skuad Carlo Ancelotti akan menerima kunjungan kelab pertengahan liga, Granada di Stadium Santiago Bernabeu awal pagi Isnin ketika liga kembali menyingkap tirai selepas dua minggu berehat berikutan jadual kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan yang dijadualkan semula.

Kekalahan di Bilbao menyaksikan Ancelotti dikritik hebat apabila bertindak menurunkan Vinicius Jr dan Rodrygo yang tidak direhatkan selepas kembali tugasan bersama Brazil awal minggu ini.

Jurulatih Itali itu memilih menggunakan khidmat pemain muda berbanding penyerang veteran Gareth Bale dan Eden Hazard, yang mempunyai tempoh berehat dan mendapatkan semula kecergasan dua minggu awal, namun diperap di bangku simpanan sekali lagi.

Situasi di San Mames bertambah parah buat Los Bloncos apabila pelawat seolah-olah keletihan dan jelas terjejas tanpa kelibat penyerang Perancis, Karim Benzema, yang masih belum pulih daripada kecederaan otot kaki.

Ancelotti sekali lagi berdepan dilema dalam pemilihan sekali lagi apabila Vinicius digantung perlawanan manakala Benzema pula dalam pemulihannya untuk persediaan perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain pada 15 Februari.

Sementara itu, satu lagi perlawanan tumpuan minggu LaLiga minggu ini adalah di Camp Nou, menyaksikan pertemuan Barcelona menentang penyandang juara Atletico Madrid yang masing-masing bergelut mencari rentak positif.

Untuk rekod, Real Madrid memimpin liga dengan 50 mata setelah mengharungi 22 perlawanan, empat mata di hadapan Sevilla di tempat kedua.

Artikel Berkaitan:

Atletico pula berada di tempat keempat dengan 36 mata, lebih satu mata mengatasi Barcelona yang mempunyai satu baki permainan.

Atletico Madrid ke laman Barca tanpa penyerang Perancis Antoine Griezmann yang cedera manakala pengurus Barca, Xavi Hernandez akan mempunyai pemain baharu Pierre-Emerick Aubameyang dan Adama Traore, yang kedua-duanya tiba dari Liga Perdana Inggeris minggu lalu.