Pesakit di ICU stabil: Dr Sahruddin

Dr Sahruddin Jamal- Foto Bernama
Dr Sahruddin Jamal- Foto Bernama
A
A
A

PASIR GUDANG - Sehingga jam 12 tengah hari tadi, jumlah pesakit yang dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Permai adalah seramai 30 orang.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, manakala yang masih menerima rawatan di wad hospital adalah 120 orang berbanding 143 pesakit yang dilaporkan pada pagi tadi.

“Tinggal lima pesakit masih mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya di sini hari ini.

Sahruddin berkata, perkembangan kerja-kerja pembersihan setakat hari ini, berlangsung dengan lancar di mana sepanjang 1.5 kilometer kawasan yang terjejas dengan pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, telah berjaya dibersihkan.

Katanya, sebanyak 30 pasukan di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan digerakkan bagi memantau kualiti udara di 42 buah sekolah dalam lingkungan 5 hingga 9 kilometer daripada tempat kejadian di sekitar Pasir Gudang.

“Pasukan tersebut terdiri daripada anggota Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia yang melakukan pemantauan secara menyeluruh bermula pada hari ini, dan keputusan hasil pemantauan itu akan dikongsi pada esok.

“Pengesan gas akan digunakan oleh pasukan pemantau bagi mengesan serta memantau kualiti udara dalam memastikan udara di kawasan yang terlibat benar-benar berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau berkata, lima parameter gas yang akan diperiksa adalah oksigen, karbon monoksida, Low Exposure Limit (LEL) Volatile Organic Compound (VOC) dan Hidrogen Sulfida (H2S).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Jabatan Veterinar juga telah mula melakukan kajian pencemaran terhadap haiwan ternakan di lokasi Sungai Kim Kim pada 10 pagi tadi.