'Seruan baik, tujuan tidak jelas' – Che Ibrahim

Che Ibrahim menyifatkan seruan Annuar supaya pemimpin politik dan NGO Melayu bertemu untuk berbincang mengenai masa depan Melayu di negara ini merupakan satu seruan yang baik, namun tujuannya dilihat tidak jelas.
Che Ibrahim menyifatkan seruan Annuar supaya pemimpin politik dan NGO Melayu bertemu untuk berbincang mengenai masa depan Melayu di negara ini merupakan satu seruan yang baik, namun tujuannya dilihat tidak jelas.
A
A
A

KOTA BHARU - Seruan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertemu untuk berbincang mengenai masa depan Melayu di negara ini merupakan satu seruan yang baik, namun tujuannya dilihat tidak jelas dan palsu, kata Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed.

Ini kerana katanya, Melayu bagi UMNO ialah siapa yang bersedia bersama parti itu, selain akur kepada apa saja yang mereka lakukan.

Menurutnya, isu masa depan Melayu hanyalah gimik politik yang sengaja diprovokasi untuk kepentingan parti dan puak tertentu sahaja.

“Kita perlu akur, negara semenjak merdeka dikuasai oleh kuasa Melayu, semua institusi penting negara diterajui dan didominasi oleh Melayu.

“Sama ada Melayu dikatakan sebagai berjaya, atau lemah atau sebagainya, semuanya adalah hasil kerja buat pemimpin parti politik Melayu dan NGO Melayu.

“Namun perbezaan parti dan pemikiran politik dalam kalangan pemimpin Melayu tidak boleh ditafsirkan sebagai ancaman dan perpecahan kepada kaum Melayu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Annuar Musa sebelum ini dilaporkan berkata, pertemuan pemimpin politik dan NGO Melayu penting bagi menentukan hala tuju masing-masing kerana pada pandangannya, tiada kumpulan yang berpecah berjaya mencapai kemenangan secara bersendiri melainkan melalui gabungan serta pakatan.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim berkata, wujudnya berbagai parti politik dan NGO Melayu sepatutnya dilihat dari sudut perlumbaan dan usaha keras untuk menawarkan perkhidmatan serta sumbangan terbaik untuk kaum Melayu, bukan untuk mengancam atau menyebabkan perpecahan dalam kalangan Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat seharusnya diberi peluang terbuka untuk memilih pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka. Siapa pun yang menguasai negara ini, pasti ia tidak akan terlepas dari penguasaan dan kawalan orang Melayu. Bangsa lain hanya pelengkap kepada demokrasi dan rencah hidup masyarakat majmuk,” katanya.