423 penumpang feri terkandas selamat tiba di Kuala Perlis

Keadaan di Terminal Feri Penumpang Kuah yang sesak selepas 423 penumpang terkandas pada Rabu.
Keadaan di Terminal Feri Penumpang Kuah yang sesak selepas 423 penumpang terkandas pada Rabu.
A
A
A

LANGKAWI - Seramai 423 penumpang yang terkandas selepas feri dijadualkan berlepas dari Terminal Feri Penumpang Kuah di sini ke Kuala Perlis mengalami kerosakan, selamat tiba di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sekitar jam 11 malam pada Rabu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pada awalnya feri berkenaan dijadualkan berlepas pada jam 2 petang dan merupakan feri terakhir perjalanan ke Kuala Perlis.

Menurutnya, disebabkan kerosakan terbabit, pihak pengurusan telah mengambil keputusan untuk melewatkan perjalanan hingga jam 10 malam.

"Tindakan berkenaan diambil berdasarkan keadaan terkini paras air laut yang mulai surut pada jam 3.03 petang.

"Sekiranya feri bergerak selepas dari jam berkenaan ia akan membahayakan penumpang dan anak kapal. Jadi kita lewatkan hingga jam 10 malam iaitu ketika air laut mulai pasang dengan menggantikan Feri Express Bahagia 99 yang berkapasiti 555 penumpang," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Baharin berkata, walaupun terdapat kekecohan di Terminal Feri Penumpang Kuah akibat insiden terbabit, namun beliau berharap penumpang dapat bertolak ansur dengan situasi yang tidak diduga itu.

"Keputusan ini terbaik untuk keselamatan semua penumpang, ini kerana sekiranya feri bergerak dan alur pelayaran Kuala Perlis mencatatkan paras air di bawah 1.6 meter, feri tidak dapat berlabuh di terminal dengan selamat," katanya.

Dalam pada itu, Baharin turut menafikan dakwaan ada penumpang yang terkandas sehingga awal pagi Khamis disebabkan kejadian berkenaan.

"Kesemua penumpang yang terkandas petang semalam telah menaiki feri pada jam 10 malam tadi dan selamat sampai di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis sekitar jam 11 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sejak petang Rabu, beberapa video berkaitan insiden berkenaan mulai tular di media sosial dengan memaparkan situasi yang berlaku di Terminal Feri Penumpang Kuah.

Dalam video terbabit turut kelihatan penumpang terpaksa tidur di kerusi yang disediakan di terminal sementara menanti feri pada jam 10 malam.