Bekalan telur terhad bagi gred tertentu sahaja: KPDNHEP Terengganu

Bekalan telur bagi gred tertentu adalah terhad di Terengganu berikutan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar buat masa ini berkurangan. - Gambar hiasan
Bekalan telur bagi gred tertentu adalah terhad di Terengganu berikutan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar buat masa ini berkurangan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu menafikan laporan mendakwa bekalan telur di negeri itu telah kehabisan.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, bagaimanapun pihaknya mengakui bekalan telur bagi gred tertentu adalah terhad berikutan jumlah stok yang dibekalkan pengeluar kepada pemborong dan pihak pasar raya buat masa ini berkurangan kira-kira 50 peratus daripada kebiasaan.

"Bekalan telur di Terengganu ini bukanlah habis langsung seperti didakwa. Bekalan telur ada tetapi gred-gred tertentu agak terhad. Ada pengguna menumpukan untuk membeli satu-satu gred telur dan telur papan sahaja namun telur yang dijual 10 biji untuk sepeket itu masih ada di kedai-kedai dan pasar raya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan pada Rabu mengenai masalah bekalan telur di Terengganu.

Saharuddin berkata, kekurangan stok telur bagi gred tertentu buat masa ini merupakan isu nasional yang saling berkait dengan beberapa faktor termasuk peningkatan harga makanan ternakan dan cuaca serta ia dihadapi oleh kebanyakan negeri bukan sahaja Terengganu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kekurangan stok bekalan telur turut dipengaruhi peningkatan permintaan ke atas bahan makanan itu berikutan musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

"Bagi membantu mengatasi masalah ini, ada pasar raya yang melakukan kawalan kendiri dan mengehadkan jumlah pembelian. Contohnya, setiap pembeli hanya dibenarkan mengambil dua papan telur sahaja,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: