MEDAC sedia kaji kesesuaian program Jumper

NOH
NOH
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersedia mengkaji semula kesesuaian program Jom Jadi Perantis atau Jumper yang dikendalikan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) agar selaras dengan kehendak yang diperlukan golongan usahawan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, sudah tiba masanya program keusahawanan itu mendapat pembiayaan diperlukan peserta program itu berbanding hanya menerima geran sebanyak RM10,000.

"Masalah Jumper ini apabila (peserta usahawan) tamat kursus, kita tidak menyediakan mereka keperluan sebagai usahawan.

"Kalau hendak latih usahawan, kita kena ikut berapa yang diperlukan mereka untuk mulakan perniagaan dan kemudian membuat penilaian mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Pejabat Urusan Chinta Rich Empire di Peninsula Park, di sini, pada Rabu.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, pada masa ini program latihan itu hanya membolehkan peserta program keusahawanan menerima elaun sara diri RM1,200 sebulan sepanjang lapan bulan.

"Tiada makna kalau kita hantar latihan (keusahawanan) dan setelah habis latihan, kita letak pelbagai syarat baharu," jelasnya.

Katanya, sehingga kini kira-kira 7,000 pelatih sudah mengikuti Jumper tetapi tidak sampai 10 peratus sahaja yang menjadi usahawan.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kita beri latihan mesti ada pinjaman istimewa kepada pelatih dan bukan beri setakat geran RM10,000 sahaja.

"Kita boleh beri geran tetapi RM140,000 lagi sebagai contoh kita beri dalam bentuk pinjaman untuk mereka memulakan modal perniagaan," katanya.