SAR warga emas hilang cari lembu diperluas tujuh kilometer

Sivapaki hilang selepas keluar mencari lembu ternakannya di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau pada Isnin lalu.
Sivapaki hilang selepas keluar mencari lembu ternakannya di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau pada Isnin lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang hilang selepas mencari lembu ternakannya di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini sejak tiga hari lepas diperluas tujuh kilometer dari lokasi berkenaan.

Pengarah Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban, Leftenan Mohd Ghazali Abd Rahim berkata, pencarian yang tertumpu di kawasan hutan itu turut membabitkan lebih 50 anggota termasuk APM, bomba, polis dan penduduk sekitar serta empat ekor anjing pengesan (K9).

"Kita dah mulakan pencarian sejak awal pagi tadi dan akan teruskan hingga petang, kalau tak jumpa juga lepas 72 jam kita akan serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Sementara itu, cucu wanita terbabit, K. Shirikumaran, 28, yang mengikuti operasi berkenaan sejak hari pertama berkata, neneknya itu hanya mempunyai sakit pada bahagian kaki akibat jatuh sebelum ini, namun tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan lain.

Shirikumaran berkata, ia merupakan kejadian kedua wanita itu dilaporkan hilang dengan insiden pertama hilang selama tiga hari pada 2006, namun berjaya ditemukan dalam keadaan baik di Linggi, Port Dickson oleh saudaranya.

"Nenek saya memang sudah biasa dengan kawasan ini dan dia pun menetap di sini sejak kecil, lebih kurang 50 ekor lembu sudah ditemukan sehari nenek dilaporkan hilang tapi dia pula masih tak jumpa,” katanya dan menambah neneknya tinggal berdua bersama datuk di rumah.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi pada 31 Januari lepas, warga emas A Sivapaki, 74, dilaporkan tidak pulang selepas menguruskan lembu ternakannya di ladang kelapa sawit berhampiran rumahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: