Kereta bawa 38 tong petrol seludup terbabas

Sebahagian tong berisi minyak petrol yang ditemui dalam sebuah kereta terbabas di pembahagi jalan di hadapan sebuah pasar raya di Tendong, Pasir Mas Isnin.
Sebahagian tong berisi minyak petrol yang ditemui dalam sebuah kereta terbabas di pembahagi jalan di hadapan sebuah pasar raya di Tendong, Pasir Mas Isnin.
A
A
A

PASIR MAS - Sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang membawa 38 tong berisi minyak petrol seludup terbabas di pembahagi jalan di hadapan sebuah pasar raya di Tendong, pada Isnin.

Kereta tersebut dipercayai turut melanggar seorang lelaki yang ditemui terbaring di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 11.10 pagi dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terus digerakkan ke lokasi.

"Anggota bertugas yang tiba di lokasi pada jam 11.20 pagi telah membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah kereta Proton Wira Aeroback terbabas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian turut mendapati seorang lelaki ditemukan terbaring disyaki dilanggar kenderaan tersebut.

Katanya, anggota bertugas kemudian memeriksa kereta itu dan menjumpai 38 tong plastik berisi cecair disyaki petrol.

Mohd Nasaruddin berkata, polis tidak menolak kemungkinan bahan api itu mahu diseludup ke negara jiran.

"Hasil maklumat daripada orang ramai, suspek dipercayai melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Perodua Myvi," katanya.

Artikel Berkaitan: