Tiada makan besar tahun ini: Mangsa ribut

Rangka bumbung yang diterbangkan angin akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada Ahad.
Rangka bumbung yang diterbangkan angin akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku di Kampung Tawas, di sini pada petang Ahad menyebabkan sebahagian mangsa terpaksa melupakan hasrat menikmati makan besar sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok.

Dengan hampir kesemua persiapan perayaan tersebut musnah dan kerosakan rumah disebabkan bencana itu, tumpuan penduduk yang terjejas lebih terarah kepada kerja-kerja baik pulih kediaman masing-masing.

Seorang mangsa, Cheah Seng Kun, 36, tidak menyangka kejadian yang berlaku bermula kira-kira jam 5 petang itu seteruk itu sehingga hampir keseluruhan bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Katanya, ketika insiden mencemaskan itu, kesemua lapan orang ahli keluarga termasuk tiga kanak-kanak lari bersembunyi di dalam bilik.

"Pada petang itu kami semua sedang sibuk buat persiapan untuk Tahun Baharu Cina. Nasib baik ketika itu semua pintu dan tingkap dah ditutup jadi tak terasa sangat angin kuat sehinggalah bumbung rumah kami tercabut.

"Selepas semua bumbung di bahagian ruang tamu hilang diterbangkan angin, kami bersembunyi di dalam bilik air untuk berlindung.

"Saya rasa dalam 20 hingga 30 minit juga ribut itu berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tawas di sini pada Isnin.

Katanya, segala persiapan untuk Tahun Baharu Cina tidak dapat diselamatkan malah semua persiapan tidak dapat dibuat memandangkan hari perayaan terlalu hampir.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ang Kiam Ting, 58, kejadian ribut yang berlaku merupakan paling buruk pernah dialami sejak menyewa di kawasan tersebut kira-kira setahun lalu.

Seng Kun, Kiam Ting
Seng Kun, Kiam Ting

Jelasnya, ketika kejadian itu, dia baru sahaja selesai mandi dan bersiap untuk keluar rumah.

"Saya nampak angin berpusing-pusing dan kemudian melalui kawasan rumah berhampiran sebelum merosakkan rumah saya.

"Saya duduk di bahagian belakang rumah tengok satu-satu bumbung tercabut.

"Buat masa ini saya menumpang rumah anak berhampiran dan beraya dengan mereka. Nak duduk di sini pun tak boleh, tak selamat," katanya yang bekerja sebagai tukang cat.

Seorang lagi mangsa, Lee Cheng Man, 23, berkata, sambutan Tahun Baharu kali ini agak hambar kerana tidak dapat diraikan di rumah sendiri seperti tahun-tahun sebelumnya.

Cheng Man menunjukkan kerosakan yang dialami biliknya akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada Ahad.
Cheng Man menunjukkan kerosakan yang dialami biliknya akibat kejadian ribut yang melanda kawasan Kampung Tawas, Ipoh pada Ahad.

Dia yang tinggal bersama ibunya berkata, setiap kali perayaan tersebut semua ahli keluarga akan berkumpul di rumah berkenaan untuk makan besar dan sambut Tahun Baharu Cina.

"Memang ini rumah pusaka. Setiap kali Tahun Baharu Cina rumah ini akan meriah dengan ahli keluarga yang balik kampung tetapi tidak pada tahun ini.

"Sementara rumah dibaiki, saya dan ibu akan menumpang di gereja untuk sementara waktu," katanya yang merupakan pelajar di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Sementara itu di Kampung Desa Sri Chemor, Klebang, di sini, beberapa rumah juga turut rosak akibat bencana ribut tersebut.

Seorang mangsa, Mohd Azzahir Abdul Razah, 28, berkata, ketika itu hanya ibunya yang berada di rumah kerana dia bekerja.

Katanya, memandangkan kerosakan pada bahagian bumbung rumah mengambil masa untuk dibaiki, keluarganya tinggal menyewa di inap desa berhampiran.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku disebabkan bencana tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mastura Mohd Yazid serta Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun turut turun padang meninjau keadaan di kawasan dilanda ribut.

Kejadian ribut dan angin kencang yang berlaku pada petang Ahad menyebabkan 219 rumah di Kampung Tawas, Taman Tasek Damai, Desa Sri Chemor dan Taman Desa Impian mengalami kerosakan.