Pastikan cukup tidur sebelum pandu pulang ke kampung

Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan jumlah aliran trafik meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena cuti Tahun Baharu Cina. - Gambar hiasan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan jumlah aliran trafik meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena cuti Tahun Baharu Cina. - Gambar hiasan.
A
A
A

AURA Tahun Baharu Cina kali ini berbeza berbanding dua tahun sudah.

Bukan sahaja kaum Tionghoa, malah ramai yang turut mengambil kesempatan balik kampung menghabiskan cuti panjang bermula Sabtu lalu.

Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan jumlah aliran trafik meningkat sehingga 4.6 juta kenderaan sehari sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Di laman sosial, foto kesesakan jalan raya sudah mula tular. Namun, tiada apa yang hendak dihairankan. Sememangnya sudah menjadi ‘budaya' jumlah kenderaan pasti mencanak naik pada musim perayaan. Lebih-lebih lagi selepas larangan merentas negeri akibat Covid-19 dimansuhkan.

Kepada yang pulang beraya, bercuti atau menghadiri majlis perkahwinan, satu sahaja pesanan daripada Merak Jalanan, berhati-hatilah.

Kenderaan wajib diperiksa dan diselenggara sebaiknya. Pastikan juga anda mempunyai tidur yang cukup bagi mengelak tertidur seketika atau microsleep.

Microsleep berlaku dalam tempoh singkat iaitu satu hingga lima saat sahaja, namun implikasinya boleh mengakibatkan banyak nyawa melayang.

Justeru, jika sudah mula perasan wujudnya tanda-tanda microsleep, cuba berehat. Paling tidak, tidur kira-kira 20 hingga 30 minit.

Artikel Berkaitan:

Ingat, jangan sesekali ‘berhutang' waktu tidur. Ya, peringatan itu nampak seperti klise, namun penting demi menyelamatkan jiwa.

Pandu cermat, jiwa selamat. Jangan sampai kita menjadi sebahagian daripada statistik kes kemalangan jalan raya.

Selain itu, virus Covid-19 masih berleluasa dan tidak pernah berehat. Lonjakan kes di negara ini juga nampaknya semakin menunjukkan trend peningkatan. Varian Omicron menjadi ketakutan kini.

Dalam meraikan kegembiraan bersama insan tersayang, kita masih kena masih tetap perlu berwaspada. Sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sering diuar-uarkan.