Banjir dan sastera ekologi

Kejadian banjir yang melanda negara baru-baru ini. - Foto Bernama
Kejadian banjir yang melanda negara baru-baru ini. - Foto Bernama
A
A
A

NEGARA kita dilanda banjir luar biasa. Perubahan iklim dan penjenayahan alam sekitar, antara dijadikan musababnya.

Musim tengkujuh dengan hujan lebat menyebabkan limpahan air. Kapasiti sungai melonjak naik dengan lautan mengapung besar, menyebabkan jalurannya menenggelamkan persekitaran.

Air bergerak laju menyapu bersih apa pun yang dilaluinya, termasuk rumah, bangunan, pohonan, jambatan dan memakan korban.

Perubahan iklim menurut pakar ekologis, terjadi disebabkan oleh proses dalaman bumi.

Berlaku gerakan antropogenik dalam komposisi atmosfera akibat perosakan struktur tanah.

Ia juga terjadi akibat aktiviti manusia yang mengubah komposisi atmosfera secara global, menyebabkan karbon dioksida meningkat di atmosfera memanaskan keseluruhan planet.

Justeru, perosakan alam sekitar, seperti penebangan balak, penggondolan bukit bukau, penimbusan kolam-kolam dan sebagainya adalah jenayah ekologi. Apabila hujan turun tiada takungan air, ia cepat turun ke perkampungan dan bandar, menenggelamkan, maka terjadilah banjir besar.

Di samping itu, alam juga terdedah kepada pelbagai kemusnahan seperti pencemaran udara, pembakaran, sisa pepejal, buangan kimia dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Kesemua fenomena alam dan penggejalaan tersebut, telah memberi idea dan inspirasi kepada pengarang untuk menghasilkan teks-teks yang sejajar dengan ekologisme.

Realiti alam dirakam dan dianalisis serta dikritik terhadap penjenayahannya.

Ernest Callenbach menulis novel Ectopia (1975), yang mencitrakan perjuangan golongan ekologis dalam memberi kesedaran untuk menghormati alam, dan melawan segala macam bentuk pengeksploitasian alamiah.

Novel itu telah mendapat sambutan dan membuka mata khalayak terhadap kecintaan kepada kedamaian kehidupan dunia.

Memberinya ilham untuk menghasilkan novel keduanya Ecotopia Emerging (1981).

Karya Barat

Menariknya di Barat, ia diikuti dengan penghasilan beratus-ratus teks sastera yang mensubjekkan betapa perlunya manusia melestarikan alam.

Karya itu juga sejajar dengan gerakan dialam kalangan hippies pada tahun 1970-an, dengan melaung-laungkan slogan solar energy, water power, turning on to nature dan survival with grace.

Kumpulan ini menentang perosakan alam sekitar dan ingin mengembalikan kehidupan ke alam semula jadi.

Di Amerika sendiri muncul Environmental Protection Agency yang bertujuan menjaga keindahan alam.

Antara kegiatannya ialah merayakan Earth Day yang dihadiri lebih setengah juta orang.

Pada dekad 1970-an, muncul Greenpeace yang memprotes percubaan senjata-senjata nuklear, pencemaran air dan udara, pembunuhan binatang serta sumber pemakanan di darat dan laut.

Mereka telah menyarankan biarlah dunia berada di tahap seadanya, biar dunia ini kecil tetapi indah: small is beautiful.

Masyarakat akhirnya menerima ekologisme sebagai sebuah wacana, ditangani dengan secara akademik, ilmiah dan bijak.

Limpahan teks-teks ekologikal dengan pelbagai gaya penulisan, telah mencabar kedudukan teks-teks pascakolonial yang sangat popular sebelum itu. Dikatakan, ada sasterawan pascakolonialis yang berhijrah menghasilkan teks-teks ekologisme.

Kejadian banjir yang melanda negara baru-baru ini menyebabkan kerosakan harta benda dan nyawa. - Foto Bernama
Kejadian banjir yang melanda negara baru-baru ini menyebabkan kerosakan harta benda dan nyawa. - Foto Bernama

Akhirnya, atas kesedaran untuk menilai dan menempatkannya dalam peta sastera, sebuah teori perlu ditubuhkan (Robyn Eckerley, Environmentalism and Ecology Literature Theory, 1990).

Pelopor penteorinya ialah Cheryll Glotfelty, yang menyediakan definisi, konsep, kriteria dan prinsipnya, mengisytiharkan kelahiran teori sastera ekologi.

Ia muncul selepas teori sastera pascakolonialisme. Antara prinsipnya ialah atas pelestarian keindahan dunia yang bersih dan asli.

Ditunjukkan bahawa mereka yang hidup di pergunungan, minum air mineral, udara bersih dan makanan terkawal akan panjang usianya.

Memberi penghormatan dan menilai teks yang melakukan pelbagai usaha untuk menyedarkan kepentingan ekologisme.

Menggesa karya sastera harus menentang segala macam bentuk kejahatan alam.

Tanamkanlah rasa sayang terhadap dunia ini, kerana tidak ada tempat lain lagi untuk manusia hidup.

Dengan cepat teori sastera ekologi berkembang. Justeru, subjek alam sekitar merupakan permasalahan global, maka ia tersebar ke seluruh dunia, termasuk Malaysia sekitar tahun 2000.

Tidak banyak karya ekologikal dihasilkan oleh pengarang kita. Menunjukkan pengarang kurang kepekaannya terhadap subjek ini.

Kita menemui Shahnon Ahmad pernah menulis novel Kemelut (1977), saya telah membuat kritikannya yang menunjukkan novelis ini sangat sensitif terhadap pencemaran alam.

Pembalakan

Atas nama pembangunan banyak kilang didirikan, segala kotoran dibuang ke sungai, membawa lumpur mengalir ke laut, menyebabkan pantai berdebu dan hamis.

Kilang-kilang hanya mementingkan produksinya, telah mengabaikan kebersihan alam sekitar.

Asap hitam berkepul-kepul pula menggelapkan udara dan merayap-rayap, disedut manusia merosakkan paru-parunya.

Kepekaan Shahnon Ahmad terhadap ekologisme patut disanjung dan dihormati.

Dalam genre cerpen kita menemui nama Awangku Merali, menghasilkan Angin dari Senayan, Korban, Merah Banjir di Hulu, Berselindung di Balik Gunung dan Pelagus yang kesemuanya menentang penebangan pembalakan di Sarawak, yang menganiaya kehidupan budaya etnik Penan, Kenyah dan Iban.

Angin dari Senayan dahulu perkampungannya aman damai, dingin dan menyegarkan, dengan pohon-pohon subur menjulang diisi dengan napuh, kijang, ayam hutan, dan mergastua yang lain sebagai sumber rezeki penduduknya; kini: “hutannya sudah jarang seperti rambut orang tua” angkara Tauke Lim yang menjarangkan pohon-pohon di Gunung Seranti.

Penggondolan balak di hutan Senayan merupakan bentuk penjajahan yang mesti dihapuskan. Kunyang, membakar perkhemahan dan peralatan moden Tauke Lim, akhirnya memusnahkan impian Tauke Lim untuk berkuasa di Senayan.

Dalam Pelagus pertentangan terhadap pembalakan di persekitaran pendudukan kalangan orang Penan.

Mereka tiada berdaya hanya menyaksikan tempat tinggal mereka diceroboh dan terpaksa berpindah ke tempat lain, yang kemudian persekitaran itu juga ditebang, jadilah mereka nomad yang sentiasa berpindah randah.

Awangku Merali membina subjek idealismenya bersimpati terhadap golongan marginal itu.

Sastera Melayu bertuah memiliki Zaini Ujang, intelektual dan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, banyak menghasilkan karya ekologikal dan menggerakkan pendeklamasiannya.

Kita teruja membaca puisinya, Tentang Sungai itu. Tentang sungai itu/Sudah kita sepakat putuskan/Airnya perlu dijernihkan/Alurnya perlu didalamkan/ Denainya perlu diluruskan/Tentang sungai itu/Sepakat kita bersetuju/Perundangan wajib dikuatkuasakan/ Pelestarian perlu dibudayakan/Pengindahan wajar dilaksanakan.

Dalam konteks negara menghadapi banjir luar biasa, para pengarang kita seharusnya mempertajam sensitiviti untuk menghasilkan karya tidak sahaja mencitrakan tetapi memberi idea-idea pelestariannya.

Para pengarang sama-sama mempertahankan keaslian alam sekitar, jika tidak bala bencana dan kemusnahan akan sedia menunggu.

Di samping itu, menyedari wujudnya teori sastera ekologi yang menyediakan kaedah penulisan teks, dan prinsip pengaplikasian penilaiannya.

Mengimpikan sastera yang berwawasan, supaya dapat menghindari bala bencana akibat tangan rakus manusia.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia