Keluarga remaja 'mandi jenazah', AJK masjid bermaafan

Dari kiri: Abdul Ghani, Miszairi, dan Zainul Rijal ketika sidang media selepas perbincangan dibuat di Masjid Al-Islahiah, Kuang, di sini pada Jumaat.
Dari kiri: Abdul Ghani, Miszairi, dan Zainul Rijal ketika sidang media selepas perbincangan dibuat di Masjid Al-Islahiah, Kuang, di sini pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Keluarga Daniel Iskandar Mohd Nasir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Islahiah, Kuang di sini telah mencapai kata sepakat untuk tidak mengungkit kes tular remaja yang mencuri duit tabung di masjid tersebut.

Pengerusi Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, persetujuan itu dicapai menerusi satu rundingan damai di Masjid Islahiah, Kuang di sini pada Jumaat yang turut dihadiri wakil keluarga Daniel, AJK masjid dan para peguam.

Menurutnya, semua pihak terlibat mencapai kata sepakat untuk saling bermaafan antara satu sama lain dan tidak akan mengungkit apa yang telah berlaku sebelum ini.

"Semua pihak terlibat telah bersetuju untuk tidak lagi mengingati apa yang telah berlaku sebelum ini dan membina jambatan ukhuwah antara Daniel Iskandar dan AJK masjid.

"Diharapkan perkara ini menjadi teladan kepada bukan sahaja masjid tapi institusi Islam lain dengan menjunjung prinsip ukhuwah seperti mana dianjurkan dalam al-Quran," katanya ketika sidang media selepas perbincangan dibuat di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Zainul Rijal berkata, pihak keluarga Daniel Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merancang perbincangan tersebut dengan memberi peluang kepada kedua-dua pihak meluahkan perasaan masing-masing agar difahami oleh pihak lain.

Beliau berkata, pihak keluarga terbabit dan AJK masjid perlu memikirkan jalan terbaik untuk mengeratkan silaturahim dan ukhuwah bagi menempuh masa akan datang berbanding mengungkit perkara lama.

"Apa yang penting di antara keluarga Daniel dan jawatankuasa masjid ialah bagaimana nak eratkan silaturahim dan ukhuwah berbanding mengungkit siapa yang rakam, sebar video.

Artikel Berkaitan:

"Kita nak capai persetujuan, jadi kita tidak menoleh ke belakang untuk mencari siapa yang betul, siapa yang salah. Kita melihat ke depan sahaja," katanya.

Turut hadir semasa perbincangan tersebut di sini ialah Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris dan Ketua Kampung Damai, Kuang, Abdul Ghani Abdullah.

Mengulas lanjut kemungkinan pihak masjid melantik imam baharu masjid tersebut, Abdul Ghani berkata, pelantikan itu bukan dalam bidang kuasa mereka.

"Itu bukan kuasa pihak kami (untuk hubungi bekas imam masjid), bukan dalam bidang kuasa kami.

"Itu (melantik imam masjid baharu) pun masih belum dalam perancangan," katanya.

Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap remaja yang dimandikan seperti jenazah atas kesalahan cubaan mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang minggu lalu.

Hakim Datuk Abd Halim Aman memutuskan demikian terhadap Daniel Iskandar, 19, selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

Beliau berkata, hukuman itu diganti kepada khidmat masyarakat selama 120 jam bagi tempoh enam bulan.