Dua pemain Akademi HKFC timba ilmu di Sepanyol

Dari kiri Khamal Idris Ali, Muhammad Farhan, Muhammad Hafiy dan Muhammad Talhah pada sidang akhbar di Pejabat KDA FC, Alor Setar pada Khamis. - Foto KDA FC
Dari kiri Khamal Idris Ali, Muhammad Farhan, Muhammad Hafiy dan Muhammad Talhah pada sidang akhbar di Pejabat KDA FC, Alor Setar pada Khamis. - Foto KDA FC
A
A
A

DUA pemain Akademi Hijau Kuning Football Club (HKFC) bakal mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa dengan menjalani sesi latihan dan pemilihan bersama kelab bola sepak di Sepanyol, pertengahan tahun ini.

Presiden HKFC, Muhammad Talhah Zainol berkata, dua pemain tersebut yang berusia 17 tahun akan menjalani sesi pemilihan dan latihan bersama beberapa kelab Divisyen 3 atau 4 Liga Sepanyol.

Menurutnya, Muhammad Hafiy Hamdan dan Muhammad Farhan Mohd Firdaus yang beraksi di posisi penyerang dijangka ke negara tersebut pada Jun atau Julai manakala tempoh berada di sana masih dalam proses perbincangan.

"Kita sasar dengan dua pemain ini akan menjadi satu mukadimah, rangsangan, dan suntikan semangat kepada remaja lain di Kedah untuk berusaha dengan lebih keras (agar terpilih berlatih di luar negara).

"Selain itu, kita juga cuba untuk mengambil peluang ini untuk mengubah dan membina industri bola sepak," katanya pada Pelancaran Program Akademi Sesi Pemilihan dan Latihan Akademi Hijau Kuning FC di Pejabat Kedah Darul Aman FC (KDA) FC di Bangunan PKNK, dekat sini pada Khamis.

Sementara itu, Muhammad Hafiy ketika ditemui pemberita menyifatkan impiannya untuk menimba ilmu bola sepak di luar negara bakal menjadi realiti selepas dipilih HKFC.

"Saya amat teruja dengan khabar gembira ini, Insya-ALLAH saya akan buat yang terbaik dan kerja keras untuk berjaya," ujarnya.

Perasaan yang sama didedahkan Muhammad Farhan yang mana dia mahu memanfaatkan sebaik mungkin peluang keemasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersyukur dapat panggilan dari jurulatih untuk latihan dan pemilihan di Sepanyol. Saya tak pernah dapat peluang berharga macam ini. Saya akan buat sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali menyifatkan, langkah HKFC tepat dan membantu kelab tersebut dalam proses mendapatkan pemain yang berbakat.

Menurutnya, kerjasama antara KDA FC dan HKFC sedikit sebanyak mengurangkan beban kelab dalam proses mencari bakat-bakat muda di peringkat akar umbi.