Jin Wei sudah dapat 'restu' BAM

Jin Wei bakal bergerak secara profesional selepas mendapat keizinan daripada BAM.
Jin Wei bakal bergerak secara profesional selepas mendapat keizinan daripada BAM.
A
A
A

BEKAS juara remaja dunia, Goh Jin Wei mengesahkan mendapat 'restu' daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membolehkan dia bergerak secara profesional.

Malah, pemain perseorangan wanita negara itu berterima kasih kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang memahami situasi dialaminya dalam menyelesaikan kemelut dengan badan induk berkenaan.

"Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih di atas semua sokongan dan tunjuk ajar daripada Tan Sri Norza, BAM, barisan jurulatih dan kakitangan sokongan sejak hari pertama saya menyertai skuad kebangsaan," katanya di laman Instagram miliknya pada Khamis.

Jin Wei turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas pertolongan mereka menyelesaikan isu dengan BAM.

"Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada semua atas sokongan yang berterusan sepanjang kerjaya saya. Saya juga berharap anda semua akan terus menyokong BAM dan saya yang akan meneruskan kerjaya sebagai pemain profesional.

"Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi mempromosikan badminton Malaysia di pentas antarabangsa bersama pemain badminton Malaysia yang lain. Kami akan berjuang bersama sebagai rakyat Malaysia," ujarnya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Jin Wei menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa dan 31 Oktober 2021 susulan keputusannya mahu bergerak secara profesional.

Namun, Jin Wei yang juga bekas pemain perseorangan wanita nombor satu negara telah menghantar surat rayuan kepada BAM pada Selasa lalu bagi menarik balik tindakan berkenaan.

Artikel Berkaitan: