DOSM diperkasa sebagai agensi pusat

Ismail Sabri. - Foto Bernama
Ismail Sabri. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut antara keputusan yang dicapai dalam Mesyuarat Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) pada Khamis.

Menurutnya, ketua pegawai data (CDO) juga akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan dan agensi persekutuan dan negeri secara berperingkat.

"Selain itu, pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara.

"Data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

MSDN dianggotai oleh menteri-menteri kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta DOSM yang bertindak sebagai sekretariat.

Ismail Sabri menegaskan kepelbagaian maklumat di peringkat nasional amat kritikal untuk diselaraskan sekali gus menuntut kepada keperluan ketersediaan data yang lebih komprehensif, kejat dan bersepadu.

"Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebuah jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara ditubuhkan untuk memacu kolaborasi antara kementerian dan agensi serta pihak swasta dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN.

"Jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara.

"Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan hala tuju MSDN.

"Bagi menyokong MSDN di peringkat persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/ Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Beliau turut menjelaskan MSDN mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi atau Fundamental Principle Official Statistics (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Menurutnya, ia bagi memastikan statistik rasmi adalah berwibawa dan berintegriti.

"Adalah dihasratkan dengan penubuhan MSDN ini mampu memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data yang lebih holistik dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.