Dua pelajar UUM raih markah tertinggi peringkat dunia

Pui Mun (kiri) dan Yi Wen (kanan) mengharumkan nama Malaysia dan UUM apabila meraih markah tertinggi peringkat dunia.
Pui Mun (kiri) dan Yi Wen (kanan) mengharumkan nama Malaysia dan UUM apabila meraih markah tertinggi peringkat dunia.
A
A
A

SINTOK - Dua pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila memperoleh markah tertinggi dalam kertas peperiksaan bagi program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Looi Pui Mun memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Financial Management (AFM) Disember 2021 manakala pelajar tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan, Tan Yi Wen memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Performance Management (APM) Disember 2021.

Pencapaian itu meletakkan Pui Mun di tempat pertama di dunia dan Malaysia, manakala Yi Wen berada di tempat pertama di Malaysia dan ke-14 dunia.

Pui Mun, 24, berkata, meskipun masih berada dalam situasi pandemik Covid-19, namun ia bukan penghalang untuk meraih kejayaan.

“Saya gembira berjaya memperoleh markah tertinggi itu, malah tidak menjangkakan akan mencapai tahap tersebut untuk kertas terakhir bagi melengkapkan program ACCA,” katanya di sini pada Khamis.

Menurutnya, ketika pandemik belum berakhir, dia menjadikan situasi itu sebagai satu kelebihan untuk fokus belajar selepas menamatkan latihan industri.

“Untuk kertas AFM ini, saya perlu membuat pengiraan tentang penilaian perniagaan, penilaian pelaburan dan pengurusan risiko ke atas pertukaran asing dan kadar faedah.

“Saya juga perlu membuat pertimbangan dan memberi pandangan tentang keputusan perniagaan berdasarkan angka yang ditemui,” katanya yang kini bekerja sebagai perunding di salah sebuah syarikat Big Four.

Artikel Berkaitan:

Pui Mun teruja untuk memulakan perjalanan baharu ini dan berharap pencapaiannya akan menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk terus mencapai cita-cita dan matlamat diri, selain membanggakan universiti dan TISSA-UUM.

Sementara, Yi Wen, 23, turut berkongsi kegembiraan memperoleh markah tertinggi kertas APM yang hanya diketahuinya menerusi e-mel pada 21 Januari lalu.

"Saya sangat teruja, pada masa sama terkejut kerana tidak sangka memperoleh markah tertinggi di Malaysia. Segala usaha selama ini berbayar, namun perjalanan saya masih jauh lagi untuk melengkapkan kertas peperiksaan bagi program ACCA,” katanya.

Menurutnya, untuk mencapai kejayaan, disiplin amat penting selain mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari di UUM.

“Saya akan menyiapkan tugasan terlebih dahulu, kemudian menonton rakaman video kelas tambahan, ulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu, selain bijak membahagikan masa." katanya.

Mengulas lanjut, Yi Wen berkata, cabaran utama persediaan bagi menyiapkan kertas kerja ialah pengurusan masa memandangkan banyak tugasan kuliah yang perlu diselesaikan pada waktu sama.

“Selepas mengambil peperiksaan itu, saya berpeluang mempelajari perkara baharu termasuk ilmu pengetahuan, teknik dan kemahiran berkaitan pengurusan prestasi strategik dan bagaimana mempraktikkan dalam persekitaran perniagaan,” katanya lagi.