Bekalan air untuk tanam padi dijamin mencukupi: MADA

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman (tengah) merasmikan Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, pada Khamis.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman (tengah) merasmikan Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, pada Khamis.
A
A
A

JERLUN - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan kepada pesawah bahawa bekalan air mencukupi untuk penanaman padi pada musim 1/2022 dijangka pada April depan.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, takungan air bagi ketiga-tiga empangan di bawah MADA didapati berada pada paras selesa walaupun cuaca panas.

"Kedudukan takungan Empangan Pedu ketika ini adalah sebanyak 84 peratus, Empangan Muda (90 peratus) dan Empangan Ahning (93 peratus).

“Insya-ALLAH, bekalan air sedia ada di empangan mencukupi untuk penanaman padi musim 1/2022 yang dijangka selepas tamat kemarau pada April nanti.

Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Geran Bantuan Kerajaan Wilayah II Jitra dan Pelancaran Kedah Barang Bekalan Ladang (BBL) di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA E-II Kubang Sepat, Ayer Hitam, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli; Pengerusi MADACorp, Ahmad Himi Talib; Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Nik Kun Nik Man dan Pengerusi PPK MADA E-II Kubang Sepat, Muhamad Fuad Yaacob.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada takungan air di tiga empangan di bawah MADA mencukupi untuk menampung keperluan dalam tempoh enam bulan berikutan musim kemarau sekarang.

Bagaimanapun, Ahmad Tarmizi memberitahu, buat masa ini jadual penanaman padi bagi musim 1/2022 belum diputuskan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat MADA pada bulan depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan pesawah supaya tidak perlu bimbang dengan bekalan air ke sawah padi memandangkan paras air empangan dalam keadaan stabil.

Beliau menjelaskan, ketika ini, aktiviti penanaman padi bagi musim 2/2021 telah memasuki fasa penuaian dengan 5305.1 hektar atau 6.3 peratus sawah padi telah dituai sehingga Rabu.

“Sehubungan itu, kita menjangkakan aktiviti penuaian padi bagi musim 2/2021 di kawasan Muda akan selesai pada penghujung Mac ini, manakala musim 1/2022 dijangka bermula sekitar April.

Ahmad Tarmizi memberitahu, MADA tetap akan meneruskan pembekalan air kepada kawasan sawah padi yang masih masih memerlukan bekalan air untuk aktiviti penanaman padi.

“Dengan ini, pengeluaran padi di kawasan MADA akan terjamin,” katanya.