Angka korban Christchurch meningkat 50 orang

No Image Caption
A
A
A

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Angka kematian serangan pengganas masjid Christchurch meningkat kepada 50 selepas seorang mangsa ditemui di dalam salah satu masjid berkenaan.

Pesuruhjaya Polis New Zealand, Mike Bush berkata, mangsa ditemui susulan pemeriksaan lanjut yang dijalankan di tempat kejadian.

"Setakat malam tadi, kami telah membawa kesemua mangsa keluar dari kedua-dua masjid berkenaan dan dalam proses itu kami menjumpai seorang lagi mangsa," jelasnya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Menurutnya, 50 lagi mangsa disahkan turut tercedera dalam tragedi tersebut dan 36 masih dirawat di Hospital Christchurch, dua daripada mereka dalam keadaan kritikal.

Empat orang ditahan polis, namun hanya seorang warga Australia berusia 28 tahun, Brenton Tarrant, telah didakwa membunuh.

Bush memaklumkan, tiga daripada mereka telah ditahan kerana memiliki senjata api di kawasan kepungan polis pada Jumaat.

Jelas Bush lagi, manifesto yang kononnya ditulis oleh penyerang itu tidak diterima oleh polis sebelum insiden tersebut.

Surat yang menjelaskan sebab Tarrant melakukan serangan tersebut dihantar kepada alamat emel am dan ditujukan khas kepada pejabat Perdana Menteri Jacinda Ardern.

Artikel Berkaitan:

Seorang pekerja di pejabat berkenaan telah menerima emel tersebut dan bertindak mengikut prosedur lalu merujukkan perkara itu kepada polis.

Surat berkenaan turut dihantar kepada pejabat Ketua Pembangkang dan beberapa saluran media di negara itu.

"Kami menerima emel tersebut selepas kejadian dan bukan sebelum serangan itu dilakukan," kata Bush.