20 individu dikehendaki ESSCom

Senarai 20 individu yang dikeluarkan ESSCom iaitu individu yang dikehendaki pasukan keselamatan berkaitan kes jenayah rentas sempadan dan KFR.
Senarai 20 individu yang dikeluarkan ESSCom iaitu individu yang dikehendaki pasukan keselamatan berkaitan kes jenayah rentas sempadan dan KFR.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengeluarkan senarai terkini individu dikehendaki pasukan keselamatan termasuk lima suspek baharu bagi membantu siasatan dalam kes jenayah rentas sempadan dan culik untuk tebusan (KFR).

Komander ESSCom, Deputi Komisioner Hamzah Ahmad dalam kenyataannya berkata, susulan kejayaan ESSCom menumpaskan sel Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) pada tahun lalu di negeri ini telah membawa kepada maklumat terbaharu aktiviti mereka.

Katanya, seramai 20 individu warga asing yang mempunyai hubungan dengan ASG berada dalam senarai dikehendaki pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes-kes jenayah rentas sempadan dan KFR di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Seramai lima individu baharu telah dimasukkan dalam senarai iaitu Ahadin Hussein; Ellam Sajirin @ Nasirin dan Ismurah Jirah. Ketiga-tiga mereka disyaki berperanan sebagai 'keepers' dan terlibat dalam kes penculikan di perairan tambisan.

"Individu keempat, Madjid Said @ Ammah Pattit merupakan ketua paling senior Daulah Islamiah (DI) Sulu Based dan berperanan sebagai komander ASG Sulu serta sub leader yang bakal menggantikan Hatib Hajan Sawadjaan.

"Individu yang kelima pula, Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan merupakan anak saudara kepada Hatib Hajan Sawadjaan dan sub leader dalam ASG dan mempunyai kepakaran membuat bom serta perancang letupan bagi insiden di 'The Our Lady Of Mount Carmel Cathedral Jolo' pada 27 Januari 2020 dan insiden lain di Jolo, Filipina pada 24 Ogos 2020," katanya.

Tambah Hamzah lagi, 15 suspek lagi ialah individu yang masih kekal dalam senarai sebelum ini.

"Mereka dikenali sebagai Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Arok, Mujimar Sawadjaan @Rasad, Marajan @ Manajan Asiri dan Jul Aksan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Abdurajan@ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko," katanya.

Sementara itu, senarai lima individu yang dikehendaki pada Jun 2021 telah dikeluarkan selepas ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara itu.

"Mereka ialah Apo Mike @ Majan Sahidjuan, Raden Abuh, Long Sahirin, Japs Sawadjaan @ Musafar Sawadjaan dan Halipa," katanta.

Hamzah dalam pada itu berkata, ESSCom akan memperhebatkan operasi khas untuk menjejak anasir terbabit dan melancar operasi bersepadu laut dan darat bagi membenteras elemen elemen tidak diingini di ESSZone dan juga penceroboh yang menggangu keamanan dan keselamatan di kawasan ini.