RM1,000 untuk setiap MPKK Parlimen Ledang

Syed Ibrahim (dua, kiri) menerima kertas kerja daripada Ketua Kampung Kesang, Musa Daud sambil diperhatikan Adun Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan (kanan) dan Penghulu Mukim Serom, Mahathir Abdul Ghani (tiga, kanan).
Syed Ibrahim (dua, kiri) menerima kertas kerja daripada Ketua Kampung Kesang, Musa Daud sambil diperhatikan Adun Serom, Dr Ir Faizul Amri Adnan (kanan) dan Penghulu Mukim Serom, Mahathir Abdul Ghani (tiga, kanan).
A
A
A

TANGKAK - Sebanyak RM91,000 peruntukan bakal dinikmati semua penghuni di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Parlimen Ledang.

Ahli Parlimennya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, dana berjumlah RM1,000 untuk setiap MPKK itu diagihkan bagi merancakkan pelbagai agenda dan aktiviti kemasyarakatan yang boleh dilaksanakan.

Menurut beliau, peruntukan itu diberikan kepada ketua kampung dan ketua masyarakat yang berhasrat mengadakan program di kawasan masing-masing.

“Dalam Parlimen ini, ada 91 MPKK yang mana 73 ialah ketua kampung, 17 lagi ketua masyarakat Cina dan satu ketua masyarakat India.

“Semua mereka layak memohon peruntukan ini, namun dengan syarat harus usulkan terlebih dahulu kertas kerja untuk aktiviti yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, itu merupakan sebahagian peruntukan Parlimen yang diagihkan daripada Kerajaan Pusat di mana objektif tersebut sememangnya untuk dimanfaatkan kepada penduduk semula.

“Ia inisiatif Pejabat Parlimen Ledang untuk memudahkan gerak kerja dan menggalakkan ketua masyarakat ini bergiat aktif bersama penduduk.

“Melalui kaedah sebegini, komuniti di sesebuah tempat itu juga akan menjadi meriah hasil daripada pelaksanaan program-program oleh ketua masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Ibrahim berkata, sekiranya objektif mencapai hasil, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan bantuan seumpama ini dalam siri-siri akan datang.

“Ini baru permulaan, jika memberikan manfaat besar, kita akan teruskan peruntukan ini di masa-masa akan datang. Buat masa ini, sebaik diumumkan kami dah terima hampir 10 kertas kerja daripada MPKK di sini.

“Kita sarankan bagi mereka yang berhajat nak adakan aktiviti, sila kemukakan kertas kerja dua minggu lebih awal daripada tarikh program agar mudah untuk kita semak dan agihkan peruntukan ini sebelum majlis berjalan,” katanya.