SKS Airways rancak pelancongan Pulau Pangkor

Saarani (tengah) menerima penumpang pada sambutan penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor di Lapangan Terbang Pangkor pada Selasa.
Saarani (tengah) menerima penumpang pada sambutan penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor di Lapangan Terbang Pangkor pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Penerbangan sulung pesawat SKS Airways yang membawa pelancong bermula Rabu akan merancakkan industri pelancongan ke Pulau Pangkor setelah perkhidmatan udara itu terhenti sejak 2014.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penerbangan terus dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang itu akan membantu melonjakkan lagi kapasiti dan reputasi pulau bebas cukai itu.

Menurutnya, penerbangan ini mengambil masa selama 45 minit dengan kapasiti 19 orang penumpang termasuk kru penerbangan.

"Lapangan ini telah lama tutup dan tidak lagi menerima pelancongan melalui penerbangan tetapi kini sudah ada pilihan.

"Ini satu ruang dan peluang baharu kepada pelancong domestik dan luar negara untuk datang ke Pulau Pangkor tanpa melalui lebuh raya atau beratur di jeti feri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan penerbangan sulung SKS Airways ke Pulau Pangkor di sini pada Selasa.

Hadir sama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Pengarah SKS Airways, Datuk Fahrul Rohman Ahmad.

Saarani berkata, jumlah pengunjung ke Pulau pelancongan ini dijangka akan meningkat dengan adanya perkhidmatan penerbangan berjadual setiap hari.

"Jumlah kedatangan pelancong ke Pulau Pangkor telah mencatatkan peningkatan bermula pada bulan Oktober lalu iaitu seramai 52,487 orang kepada 95,514 pada bulan November dan terus meningkat kepada 134,808 pada bulan Disember 2021.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin melalui usaha pelbagai pihak termasuklah SKS Airways akan turut memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau turut meminta pihak Tourism Perak dan pemain industri pelancongan mempergiatkan promosi bagi mengelakkan Lapangan Terbang Pangkor kembali suram.

"Kita belajar dari kelemahan silam dan untuk kali ini kita akan memulakan dan meminta Tourism Perak dan semua pihak terlibat pelancongan supaya mempromosikan Pulau Pangkor.

"Bukan sahaja pulau tetapi kaedah bagaimana untuk sampai ke Pulau Pangkor sama ada melalui bot atau feri dan terbaharu melalui udara," katanya.