'Indeks Persepsi Rasuah jatuh perlihat kembali zaman kleptokrasi'

Gambar kecil: Faiz Fadzil
Gambar kecil: Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan Malaysia merosot ke tangga 62 menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 disifatkan seakan menunjukkan satu trend yang membawa negara kembali ke zaman kleptokrasi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, Malaysia pernah merekodkan prestasi yang sama pada tahun 2017 iaitu sewaktu Barisan Nasional (BN) memerintah.

Beliau mendakwa, pentadbiran kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berpegang kepada konsep ‘scheme of things’ untuk mendapat sokongan ahli Parlimen dengan pemberian jawatan dan saiz kabinet yang besar juga salah satu amalan rasuah dalam politik yang telah menyumbang kepada kemerosotan indeks rasuah.

“Selain itu, beberapa bekas pemimpin negara di zaman BN yang dilepaskan daripada pertuduhan kes rasuah juga satu faktor penyumbang, di samping beberapa faktor lain termasuk projek-projek besar yang meragukan seperti 5G di bawah Digital Nasional Bhd (DNB).

“Justeru, kedudukan ini jelas menunjukkan bahawa pengkhianatan mandat rakyat oleh UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membawa malapetaka kepada negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan memberitahu kedudukan Malaysia terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam CPI 2021.

Keadaan itu menyaksikan negara terus jatuh berbanding di tangga 57 pada tahun 2020.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, kedudukan indeks rasuah itu juga jelas menunjukkan slogan kerajaan Melayu Islam hanya candu politik sedangkan prinsip Islam yang mencegah rasuah tidak ditegakkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan tersebut secara tidak langsung menjejaskan prestasi ekonomi negara yang masih gagal dipulihkan kerana ia menghakis keyakinan pelabur asing.

“Kelembapan pelaburan asing akan menjejaskan ekonomi rakyat terutama dari sudut pekerjaan dan peluang perniagaan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Selagi pemerintah tidak ada kesungguhan politik (political will) untuk melawan rasuah, selagi itulah ekonomi negara tidak akan pulih, malah rakyat akan terus sengsara dengan pelbagai tekanan seperti kenaikan harga barang dan defisit kuasa beli,” katanya.