Jualan RM9.8 juta, usahawan mampu sesuaikan diri dalam norma baharu

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usahawan terbukti berjaya menyesuaikan diri serta meneruskan perniagaan dalam norma baharu apabila merekodkan peningkatan jualan sebanyak RM9.8 juta dengan bantuan Institut Keusahawanan Negara Bhd (Insken) menerusi Bimbingan Perniagaan Bumiputera Insken (BBC) dan Program Bimbingan ‘Online Onboarding’ (E-Board).

Selain itu sebanyak 256 pekerjaan baharu dapat diciptakan melalui program bimbingan komprehensif anjuran Insken yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, pencapaian tersebut menjadi bukti bahawa usahawan mampu meneruskan perniagaan walaupun perlu mengamalkan norma baharu dan ia bukan penghalang untuk terus maju ke hadapan.

“Insken sentiasa konsisten menghulurkan bantuan berbentuk latihan serta bimbingan bagi memastikan usahawan dapat kekal bertahan ketika pandemik, dan kini dapat menyaksikan usahawan mula menyesuaikan diri dengan norma baharu.

“Usahawan dilihat bukan sahaja mampu menghadapi norma baharu malah catatan hasil peningkatan jualan ini merupakan satu penanda aras yang amat baik,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Insken pada Selasa.

Peserta yang lulus di bawah program Insken akan diberi kelulusan permohonan pinjaman dan mendapat pengesahan daripada Insken secara automatik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin memberitahu, seramai 170 peserta daripada dua kohort program E-Board dibimbing membuat pemasaran digital selama empat bulan berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan melebihi RM560,000.

Beliau berkata, usahawan yang menyertai program ini berjaya membuat transformasi perniagaan ke arah digital dengan menggunakan platform seperti Facebook, Instagram, TikTok, WhatsApp, Shopee, Lazada, Telegram dan YouTube.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, Insken akan terus memberikan bimbingan kepada usahawan melalui dua program ini yang masih lagi diteruskan pada 2022,” katanya - Bersama