SIRIM lancar Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar

Sirim akan melancarkan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) yang bakal memperhebat penerimagunaan pendigitalan dalam sektor pembuatan. - Foto Bernama
Sirim akan melancarkan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) yang bakal memperhebat penerimagunaan pendigitalan dalam sektor pembuatan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sirim Bhd akan melancarkan Pusat Pengalaman Pembuatan Pintar (SMEC) pada pertengahan 2022 dalam usaha memperhebat penerimagunaan pendigitalan dalam sektor pembuatan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, ​​​Datuk Dr ​Ahmad Sabirin Arshad berkata tumpuan utama pihaknya tahun ini adalah menggiatkan lagi usaha dalam pembangunan pembuatan pintar khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Melalui pusat ini yang terletak di Bukit Jalil, kita akan melihat dari sudut ekosistem sektor pembuatan secara keseluruhan dalam usaha memastikan Malaysia berupaya maju ke arah transformasi digital serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Sirim sentiasa melaksanakan peranan dalam menambah baik sektor pembuatan serta perkhidmatan. Matlamat kita adalah menjadi peneraju dalam teknologi terkedepan,” katanya dalam program Ruang Bicara bagi mengupas topik ‘Peranan SIRIM Dalam Mencapai Matlamat RMK12’ yang disiarkan saluran televisyen Bernama TV, malam Selasa.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pelbagai kepakaran dan keupayaan yang inklusif dalam memastikan rantaian bekalan dalam sektor pembuatan terjaga, dan penerimaan teknologi baharu di semua peringkat akan membantu memastikan ekonomi berkembang.

Ahmad Sabirin memberitahu, Sirim akan memperkenalkan 60 produk baharu yang dihasilkan oleh SIRIM QAS International Sdn Bhd serta inovasi yang dibangunkan oleh SIRIM Industrial Research pada tahun ini.

“Pada masa sama kita akan memperhebat usaha pendigitalan yang merupakan elemen penting dalam perkhidmatan dengan menerajui bidang Internet Pelbagai Benda (IoT), data raya dan ‘blockchain’,” katanya.

Artikel Berkaitan: